Rabu, 12 Ogos 2009

Jabatan Pelajaran Johor anjur Karnival Pendidikan Prasekolah

Oleh Mohd Sah Muda
upen@bharian.com.my


AMIR menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Karnival Pendidikan Prasekolah di Mersing, baru-baru ini.

BERPEGANG pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya', Jabatan Pelajaran Johor mengadakan Karnival Pendidikan Prasekolah di setiap daerah di negeri itu, baru-baru ini.

Karnival itu antara lain untuk mencungkil bakat dan memupuk minat kanak-kanak menerusi pelbagai aktiviti mencabar minda, keberanian, emosi serta kebolehan.

Bagi peringkat Mersing, karnival itu diadakan di Dewan Sultan Ibrahim yang dirasmikan Ketua Unit Prasekolah Jabatan Pelajaran Johor, Amir Anuar.

Dalam ucapannya, beliau berkata kanak-kanak berusia 5 hingga 6 tahun adalah aset bernilai membangunkan negara pada masa depan.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu mendapat pendidikan sempurna dan seimbang untuk menjadi generasi cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Karnival ini juga mendedahkan mereka kemahiran sosial selaras dengan matlamat gagasan 1Malaysia, selain mencungkil bakat mereka dalam pelbagai bidang termasuk kesenian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Permuafakatan Prasekolah Daerah berkenaan, Rafie Md Dali, berkata sokongan ibu bapa diperlukan bagi menggalakkan kanak-kanak cemerlang sejak awal.

Antara pertandingan diadakan sepanjang karnival itu ialah mewarna, bercerita bahasa Melayu dan Inggeris, deklamasi sajak, hafazan dan tarian rampai tradisional.

Johan setiap pertandingan akan mewakili daerah berkenaan ke pertandingan peringkat negeri di Pasir Gudang Johor, minggu depan.

Berita Harian Online: 12 Ogos 2009

Tiada ulasan: