Isnin, 10 Ogos 2009

Pelajar ikuti tutorial selepas waktu sekolah

PEMBELAJARAN di Tingkatan Enam masih relevan dan diperlukan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya pelajar kurang berkemampuan serta kurang upaya (OKU).

Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John, Kuala Lumpur, Cheng Kok Chin, berkata lepasan SPM dengan pencapaian sederhana dan dari keluarga kurang berkemampuan cenderung memilih Tingkatan Enam sebagai saluran alternatif melayakkan diri ke program ijazah universiti.

Beliau berkata, hal ini kerana kadar yuran sekolah serta tempoh pembelajaran singkat selama satu setengah tahun saja, lepasan program prauniversiti itu layak memohon program ijazah jika mendapat keputusan empat prinsipal dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Katanya, Tingkatan Enam saluran alternatif terbaik bagi pelajar OKU kerana tidak banyak kolej menyediakan kemudahan khusus bagi golongan itu berbanding di sekolah.

“Di sekolah kami, contohnya, kebanyakan pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga miskin serta OKU dan kebanyakan mereka berjaya mendapat empat prinsipal kerana peluang kedua ini dimanfaatkan sebaiknya untuk melayakkan diri ke program ijazah,” katanya.

Cheng berkata, sejajar pekeliling dikeluarkan Kementerian Pelajaran baru-baru ini, SMK St John sudah mula melaksanakan langkah seperti pelantikan guru Tingkatan Enam dan menjalankan kelas tutorial selepas tamat waktu persekolahan.

Turut dalam perancangan, katanya, penetapan waktu konsultasi penyelidikan, pelaksanaan kolokium serta pembinaan bangunan khas untuk pelajar dilengkapi bilik kuliah dan tutorial.

Sementara itu, seorang pelajar, James Low Hong Ping, 19, yang lumpuh kedua kakinya, berkata Tingkatan Enam pilihan terbaik bagi pelajar OKU sepertinya kerana sekolah menyediakan kemudahan sewajarnya bagi mereka.

“Dengan keputusan cemerlang 8A dalam SPM, saya menerima banyak tawaran daripada kolej tetapi terpaksa menolaknya kerana bimbang sukar menyesuaikan diri jika tiada kemudahan khas,” katanya.

Rakan sekelasnya, Nurfarahin Norzaini, berkata pencapaian sederhana dalam SPM dan masalah penglihatannya membuatkan beliau memilih Tingkatan Enam.

“Saya berazam memanfaatkan peluang kedua ini sebaiknya bagi melayakkan diri memohon program ijazah di Universiti Pendidikan Sultan Idris,” katanya.

Guru subjek Pengajian Perniagaan, Nor Azila Juni, berharap mereka dilengkapi kemudahan sewajarnya bagi membolehkan memainkan peranan lebih berkesan.

Antara lain, katanya, sekolah perlu dilengkapi kemudahan komputer dan internet mencukupi bagi memudahkan guru membimbing pelajar mencari bahan rujukan tambahan.

Berita Harian Online: 10 Ogos 2009

Tiada ulasan: