Selasa, 25 Ogos 2009

Jaga kebersihan bendung H1N1



PELAJAR mencuci tangan mengikut tujuh langkah yang disarankan Kementerian Kesihatan selepas ceramah penjagaan kebersihan di Cyberjaya baru-baru ini.

PANDEMIK H1N1 terus merebak dan semakin serius. Orang ramai khususnya pelajar dan guru perlu mengambil langkah pencegahan bagi menghindari virus influenza A tersebut.

Prihatin dengan ancaman selesema babi itu, pemilik Cyberjaya, Cyberview Sdn Bhd, dengan sokongan Lifebuoy menganjurkan ceramah penjagaan kebersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya baru-baru ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Redza Rafiq memberitahu, inisiatif ini merupakan salah satu projek tanggungjawab sosial korporat syarikat itu kepada komuniti di Cyberjaya.

"Ia penting dan perlu dalam mendepani pandemik yang semakin mengganas di negara kita," katanya.

Manakala Pengarah Jenama Unilever Malaysia, Lenny Chuah berkata, penglibatan syarikatnya adalah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan yang mengadakan kempen secara berterusan ke seluruh negara.

Selain ceramah, peserta yang terdiri daripada 1,600 pelajar dan guru itu telah didedahkan dengan cara membasuh tangan yang betul. Demonstrasi ujian glo-germ turt diadakan.

Poster yang mengandungi tujuh langkah mencuci tangan saranan Kementerian Kesihatan turut diserahkan kepada pengetua dan guru besar sekolah yang terlibat.

Portal Pendidikan Utusan: 25 Ogos 2009

Tiada ulasan: