Isnin, 17 Ogos 2009

Fokus: Mendisiplin pelajar

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

Kementerian cadang laksana semula hukuman rotan di sekolah

HUKUMAN rotan yang dihentikan sejak beberapa tahun lalu dengan menggantikan kaedah kaunseling dicadang dilaksanakan semula kerana ia disifatkan cara paling berkesan menangani masalah disiplin di kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Fuad Zarkashi, berkata pengenalan semula hukuman yang dihentikan pada 2006 itu wajar berdasarkan keperluan semasa.

Beliau berkata, hukuman itu dikenakan jika pelajar masih berdegil selepas menjalani sesi kaunseling dan tidak menerima nasihat diberikan.

Katanya, kementerian sudah mengemukakan cadangan dilaksanakan semula hukuman itu yang dilihat mampu mendisiplinkan pelajar.

“Cadangan ini sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara bagi memastikan pelaksanaannya mengikut peraturan dan prosedur supaya tidak berlaku kekeliruan hingga guru berdepan risiko disaman ibu bapa.

“Pelajar mempunyai personaliti yang pelik dan mereka boleh berubah mengikut keadaan.

“Dalam hal ini, ada ibu bapa tidak percaya jika guru melaporkan anak mereka terbabit dengan pelbagai kesalahan disiplin. Mereka juga tidak menerima kenyataan bahawa anak nakal di sekolah kerana berkelakuan baik ketika di rumah,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hukuman rotan dilaksanakan mengikut peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajaran 1957.

Bagaimanapun, pelaksanaannya digantikan kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2006 selepas Tabung Pendidikan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mencadangkan hukuman rotan dihapuskan kerana percaya pendekatan kaunseling lebih berkesan.

Mohd Fuad berkata, terdapat dua personaliti pelajar yang dapat dilihat apabila mereka berada di luar, antaranya melakukan kesalahan seperti vandalisme, merokok, ponteng, gaduh dan tidak kurang berjudi dan minum arak.

Beliau berkata, lebih menyedihkan ibu bapa tidak menyedari perangai sebenar anak mereka serta rakan sebaya yang menjadi faktor banyak mempengaruhi.

Berdepan kes sedemikian, katanya, ibu bapa sanggup bertegang urat menyatakan bahawa anak mereka baik dan enggan menerima kenyataan tidak berdisiplin.

Dalam melaksanakan hukuman rotan, Mohd Fuad meminta pengetua, guru besar dan guru yang diberi kuasa perlu sentiasa mengikut ketetapan serta berniat baik dengan menganggap langkah itu sebahagian proses mendidik.

Beliau berkata, hukuman itu hendaklah dilakukan sebagai tindakan akhir dan selepas murid bermasalah dirujuk kepada kaunselor.

“Jika tiada perubahan, beri amaran pertama, kedua dan ketiga. Selepas amaran ketiga, jika masih melakukan kesalahan, baru rotan. Ini diikuti dengan gantung sekolah dan akhir sekali buang sekolah,” katanya.

Berdasarkan Surat Pekeliling Kuasa Guru Merotan Murid Bil. 7/2003, dinyatakan pengetua atau guru besar boleh mewakilkan kuasa menjalankan hukuman rotan kepada guru lain bagi maksud itu di dalam bilik dengan disaksikan seorang guru lain.

Tindakan bertujuan menjaga disiplin dengan syarat hukuman dera kepada murid perempuan dilarang dan murid lelaki pula dihadkan merotan dengan rotan ringan di tapak tangan atau punggung berlapik.

Selepas hukuman dilaksanakan, guru menyedia satu rekod mengandungi hukuman rotan dan disimpan secara sulit.

Maklumat mengenainya mestilah merangkumi jenis salah laku, bilangan sebatan, bahagian anggota dirotan, nama dan tanda tangan guru yang merotan serta saksi ketika hukuman itu dilaksanakan.

Berita Harian Online: 17 Ogos 2009

Tiada ulasan: