Rabu, 12 Ogos 2009

Sayangi Sekolah: Sekolah perintis

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my


SKPP9(1), satu-satunya Sekolah Kluster di pusat pentadbiran negara.

SK Putrajaya Presint 9 (1) laksana projek Pembelajaran Terupaya Komputer 1:1

SEKOLAH Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) (SKPP9(1)) terpilih sebagai perintis projek Pembelajaran Terupaya Komputer 1:1 bagi meningkatkan keupayaan pembelajaran kendiri murid, yang akan dilaksanakan mulai bulan depan.

Guru Besarnya, Nafishah Hassan, berkata menerusi projek terbaru di bawah program Sekolah Angkat Kementerian Pelajaran - Intel Fasa 2 itu, seramai 552 pelajar Tahun Tiga hingga Lima akan menerima komputer riba atau Classmate Portable Computer (CPC) secara percuma untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Katanya, kemudahan terbaru diberikan kepada Sekolah Bestari itu bagi memudahkan murid membuat rujukan dan mendapatkan maklumat tambahan, selain menjadikan proses pembelajaran dalam kelas lebih menarik.

Beliau berkata, pemilihan SKPP9(1) yang ditubuhkan pada 2000 di pusat pentadbiran negara itu menjalankan projek berkenaan kerana kejayaan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan disediakan di bawah program pembestarian sekolah dalam P&P.

“Pada awal pelaksanaan projek, murid hanya akan dibenarkan menggunakan CPC di bawah bimbingan guru ketika kelas berlangsung, sebelum diberi kepercayaan penuh memanfaatkannya pada waktu rehat dan di rumah.

KUMPULAN muzik SKPP9(1) kerap diundang membuat persembahan Caklempong Kontemporari dalam acara berprestij.

“Kami mahu melatih murid memanfaatkan kemudahan ini dengan tanggungjawab dan tidak menyalahgunakannya.

“Justeru, ibu bapa dan guru juga akan dilatih menggunakan program NetNanny yang membolehkan pemantauan penggunaan CPC dilakukan di rumah,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Nafishah berkata, pelaksanaan projek itu memangkin pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai salah satu bidang kebitaraan sekolah itu sejajar penerimaan status Sekolah Kluster fasa ketiga pada 20 April lalu.

Antara sasaran ingin dicapai menerusi pembangunan ICT di sekolah berkenaan ialah menjadikan kaedah pembelajaran memfokuskan murid sepenuhnya serta membudayakan penggunaan teknologi bagi menjadikan P&P lebih menarik dan berkesan.

Katanya, penggunaan ICT turut diterapkan dalam pembangunan dua lagi bidang kebitaraan sekolah itu, iaitu tarian dan muzik menerusi gubahan lagu.

“Kerjasama dengan Recording Industry Malaysia sebagai sekolah angkat bagi program ‘Saya Cinta Muzik’ membolehkan sekolah ini menjalankan program pendidikan muzik menerusi aktiviti seperti bengkel bersama seniman negara.

“Murid juga berpeluang menggubah lagu menggunakan kemudahan ICT yang ada di sekolah serta lawatan ke studio rakaman.

‘Dengan pendedahan seumpama ini, murid mendapat kesedaran bahawa pembabitan dalam dunia seni bukan sekadar untuk popular, malah lebih bermakna dengan penghasilan karya berkualiti,” katanya.

Beliau berkata kumpulan muzik caklempong dan tarian tradisional antara pasukan yang mengharumkan nama sekolah itu menerusi penyertaan dalam pertandingan dan persembahan acara berprestij, termasuk Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2009), baru-baru ini.

“Murid sekolah ini berciri serba boleh dan ia terbukti dengan kejayaan dalam pelbagai pertandingan aktiviti kokurikulum seperti sukan dan badan beruniform.

“Tidak banyak sekolah dalam kelompok Bestari dan Putrajaya/Cyberjaya menumpukan bidang seni tradisional ini, justeru ia dijadikan bidang kebitaraan sekolah ini bagi mencipta kelainan,” katanya.

INFO:

Kejayaan Aktiviti Kokurikulum SKPP9(1) 2009


  • Johan (Individu) Berbasikal, CycleFest Putrajaya

  • Johan Pertandingan Tarian Sekolah Rendah Peringkat Putrajaya

  • Johan Pertandingan Bot Laju - Formula Future Peringkat Kebangsaan

  • Naib Johan (Individu) Kejohanan Catur Putrajaya

  • Berita Harian Online: 12 Ogos 2009

    Tiada ulasan: