Selasa, 11 Ogos 2009

Minda Pengarang: Kelonggaran PPSMI sehingga tamat sekolah menengah legakan ibu bapa

LANGKAH Kementerian Pelajaran memberi kelonggaran kepada pelajar meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga tamat persekolahan peringkat menengah tentunya memberi kelegaan kepada ibu bapa dan pelajar yang sebelum ini bimbang langkah kerajaan memansuhkan dasar itu, mulai 2012. Ternyata kementerian memberi perhatian menyeluruh mengenai kebimbangan ibu bapa yang mahu anak mereka tidak terganggu dalam proses pembelajaran dan pengajaran berikutan pemansuhan dasar berkenaan. Perubahan dasar secara mendadak tanpa diberi ruang yang secukupnya untuk penyesuaian boleh memberi kesan buruk kepada proses pembelajaran pelajar dan pengajaran guru. Sehubungan itu, kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentu sekali disambut dengan rasa lega oleh semua pihak. Walaupun dasar Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBI) bakal berkuat kuasa dua tahun lagi bagi menggantikan PPSMI, ia tentunya bermula pada peringkat Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Empat di sekolah menengah, sebelum pemansuhan selanjutnya di sekolah menengah yang dibuat secara berperingkat sehingga sistem keseluruhannya mengikut dasar baru yang ditetapkan. Ini bermakna, walaupun MBM dan MBI dilaksanakan pada 2012, kecuali murid Tahun Satu yang mengikuti dasar berkenaan sepenuhnya, pelajar lain di sekolah diberi pilihan meneruskan PPSMI dengan kebebasan untuk menjawab soalan peperiksaan dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris.

Kita berharap langkah kementerian bukan saja menjadikan sistem yang dilaksanakan ini lebih anjal, malah secara beransur-ansur diterima pakai semua pihak termasuk mereka yang menyokong dan membantah PPSMI sebelum ini. Dalam pada itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan guru perlu juga memberi sokongan padu terhadap dasar yang bakal dilaksanakan itu, yang biasanya pada peringkat awal pelaksanaan bakal menimbulkan kebimbangan, namun selepas lama berjalan dan menunjukkan kesan yang baik, ia akan diterima sepenuhnya. Dijangkakan, pelajar akan mengikuti sepenuhnya dasar MBM dan MBI menjelang 2023, jika tempoh pembelajaran selama 11 tahun diambil kira dan selepas itu PPSMI akan terus mansuh. Apa yang penting, pelajar kini mempunyai pilihan untuk mengikuti pembelajaran dalam bahasa yang mereka kuasai dengan bantuan guru dan pihak sekolah. Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan dengan kelonggaran yang diberikan kementerian untuk memaksa kerajaan mematuhi kehendak mereka. Apa yang dibimbangi, selepas ini tentu ada pihak yang akan mempertahankan supaya sekolah tertentu terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kerana guru, pelajar dan ibu bapa sudah selesa dengan sistem berkenaan. Perkara ini tidak mustahil berlaku di sekolah kawasan bandar yang penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajarnya lebih baik. Ini menyebabkan ada pihak mempertahankan `status-quo' yang dinikmati selama ini. Kita harap kementerian bertegas dalam pelaksanaannya supaya tiada pihak yang menyeleweng dari dasar yang ditetapkan kerajaan. Ini perlu bagi mengelakkan sekolah yang melaksanakan MBM dan MBI terutama di luar bandar tidak menjadi mangsa kepada dasar tidak seimbang apabila bersaing memasuki pusat pengajian tinggi nanti.

Berita Harian Online: 11 Ogos 2009

Tiada ulasan: