Khamis, 27 Ogos 2009

Ibu bapa anak istimewa rayu PPD Johor Bahru kekal sistem lama

SAYA ialah ibu yang mempunyai seorang anak yang belajar di Kelas Pendidikan Khas di salah sebuah sekolah kebangsaan di Larkin, Johor Bahru (JB). Sekolah itu terlibat dengan rancangan Penggabungan Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran oleh Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru.

Di bawah rancangan ini, Pejabat Pendidikan Daerah akan menggabungkan kelas-kelas pendidikan khas di beberapa buah sekolah di daerah JB seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Larkin 2, SK Nong Chik, SK (P) Bandar Tinggi, SK Tasek Utara, SK Kompleks UDA, SJK © Foon Yew 3 dan SJK (T) Jalan Yahya Awal di bawah satu bumbung iaitu di SK (P) Bandar Tinggi, JB.

Walaupun idea penggabungan yang akan berkuat kuasa tahun depan itu bertujuan untuk memusatkan semua kelas pendidikan khas di daerah JB di bawah satu bumbung, namun dalam masa yang sama, ia memberi tekanan dan bebanan kepada ibu bapa murid-murid terlibat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Saya mengatakan demikian kerana ibu bapa terpaksa membuat perjalanan yang jauh untuk menghantar dan mengambil anak-anak mereka di sekolah baru itu yang lokasinya terletak di tengah-tengah kesesakan dan kesibukan bandar raya JB yang juga boleh mengundang persoalan mengenai keselamatan pelajar terlibat.

Paling terasa bebanan ini ialah kaum ibu daripada kalangan suri rumah seperti saya. Selama ini, saya dan beberapa ibu pelajar pendidikan khas begitu mudah menghantar dan mengambil anak sekolah dengan berjalan kaki sahaja kerana jarak rumah yang agak dekat.

Bayangkan jika penggabungan sekolah ini berlaku, bermakna saya dan kaum ibu lain terpaksa menguruskan kenderaan bagi menghantar dan mengambil anak masing-masing yang turut melibatkan peningkatan kos pengangkutan bagi kami daripada keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan ini.

Jika disediakan bas sekolah sekali pun, bukan semua pelajar kelas pendidikan khas boleh menaiki kenderaan tersebut.

Sebahagian daripadanya, belum mampu berdikari menaiki bas disebabkan masalah kekurangan diri masing-masing yang berbeza di antara satu dengan lain. Janganlah menganggap masalah kanak-kanak pendidikan khas ini semuanya sama.

Sebagai contoh, para pelajar hiperaktif, autisme tidak semuanya boleh dibiarkan menaiki bas sekolah kerana permasalahan emosi dan minda yang dihadapi dan mereka perlu diambil sendiri oleh ibu bapa masing-masing. Dan saya yakin semua pelajar pendidikan khas juga perlu dihantar dan diambil sendiri oleh ibu bapa masing-masing.

Satu lagi faktor yang perlu diambil perhatian pihak pejabat pelajaran daerah ialah soal keserasian dan kesesuaian para pelajar pendidikan khas dengan sekolah sedia ada.

Kebanyakan pelajar ini telah pun serasi dengan rakan-rakan dan guru masing-masing di mana jika perpindahan dilakukan, ia sedikit sebanyak mengganggu emosi kanak-kanak ini.

Bagi ibu bapa yang bekerja pula, perjalanan menghantar dan mengambil anak selama ini agak mudah kerana mereka ditempatkan di sekolah-sekolah berdekatan rumah.

Bayangkan jika sekolah ini dipindahkan ke tempat yang jauh, tentulah terkejar-kejar ibu bapa terlibat untuk keluar pejabat pada waktu tengah hari dan kembali semula ke pejabat tepat pukul 2.

Justeru saya memohon supaya Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru agar dapat mengekalkan sistem persekolahan sedia ada dan telah serasi dengan anak-anak kami serta aturan perjalanan kami selama ini.

Kami harap Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru akan bersikap proaktif terhadap pandangan saya ini dengan mengambil kira segala kesukaran yang bakal ditempuh oleh keluarga pelajar terlibat andai program penggabungan sekolah ini diteruskan.

Ibu Prihatin
Johor Bahru

Utusan Malaysia Online: 27 Ogos 2009

Tiada ulasan: