GURUN - Jika sebelum ini suasana Sekolah Menengah Agama Pekan Gurun di sini sentiasa aman namun semalam keadaannya bertukar kecoh apabila seorang guru terkejut menemui satu mayat bayi dalam mangkuk tandas guru wanita di sekolah itu.
Perkara itu kemudian dilaporkan kepada polis dan dalam sekelip mata sekolah tersebut didatangi beberapa anggota polis dan dua pasukan bomba.
Mayat bayi perempuan yang dikatakan seberat tiga kilogram itu tersangkut pada mangkuk tandas dan anggota bomba dipanggil pagi mengeluarkan mayat bayi itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, mayat bayi yang tidak berpakaian itu ditemui oleh seorang guru wanita pada pukul 8 pagi semasa beliau pergi ke tandas itu.
Menurut beliau, daripada keadaan mayat, bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai telah mati dalam tempoh dua hari lalu.
"Polis yang memeriksa mayat bayi itu menemui kesan darah kering pada badan bayi yang sudah cukup sifat itu.
"Bayi itu dipercayai telah dibuang atau mati dalam mangkuk tandas itu sejak Jumaat lalu iaitu semasa sekolah itu cuti," kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, setakat ini polis belum mengetahui siapa ibu kepada bayi itu.
Kosmo Online: 3 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan