Rabu, 19 Ogos 2009

Sayangi Sekolah: Strategi berkesan

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my


CALON UPSR mengikuti Bengkel Teknik Menjawab Soalan, satu daripada program akademik dilaksanakan SKJ3.

SKJ3 tubuh Think Tank Group rancang kecemerlangan akademik, kokurikulum

IDEA penubuhan Think Tank Group (TTG) sebagai perancang kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Jalan 3 (SKJ3), Bandar Baru Bangi, Selangor, berhasil apabila pencapaian akademik dan kokurikulum sekolah itu terus meningkat.

Dicetuskan Guru Besarnya, Siti Rozita Yahya, kumpulan ditubuhkan pada 2005 itu dianggotai 34 ahli yang bertanggungjawab merancang segala aktiviti sekolah berkenaan.

Di bawah TTG, tiga guru berkelayakan dilantik sebagai ketua penyelaras bagi membantu atau memangku tugas ketika ketiadaan guru penolong kanan, selain 28 guru perancang induk berdasarkan kepakaran masing-masing.

Siti Rozita berkata, semua ahli termasuk beliau sendiri mempunyai komitmen memastikan pelaksanaan strategi dan perancangan sekolah dapat direalisasikan setiap tahun.

"Sebagai ketua, saya yakin sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah yang sistematik dapat membantu bukan saja mengekal, malah meningkatkan lagi reputasi kecemerlangan sekolah.



"Malah dengan struktur organisasi TTG, strategi dan perancangan sekolah dapat direncanakan dengan bijak, selain memupuk budaya kerja cemerlang di kalangan guru," katanya kepada Berita Harian.

Setakat ini, beliau menjelaskan, pelbagai kejayaan diraih sekolah itu, antaranya pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam semua subjek melebihi 90 peratus sejak penubuhannya pada 1996.

Siti Rozita berkata, penguasaan murid SKJ3 dalam aktiviti kokurikulum khususnya permainan hoki dan bola tampar juga semakin menyerlah hingga ada yang mewakili pasukan kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut, sejak 2006.

"Terbaru, pengiktirafan SKJ3 sebagai Sekolah Kluster fasa ketiga pada April lalu, pencapaian tertinggi sekolah ini.

"Pengiktirafan ini menguatkan lagi keazaman dan semangat kami untuk terus berusaha melonjakkan kecemerlangan pada masa depan.

"Tumpuan akan diberikan kepada lima bidang kebitaraan, iaitu bahasa Inggeris, unit beruniform, hoki dan bola tampar serta kompang berirama," katanya.

Beliau berkata, peruntukan khas Sekolah Kluster yang bakal diterima daripada Kementerian Pelajaran akan dimanfaat bagi menambah baik kelengkapan dan prasarana berdasarkan bidang kebitaraan sekolah.

Siti Rozita berkata, pihaknya juga merancang untuk membina Makmal Bahasa Inggeris dilengkapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi memandangkan sekolah itu belum mempunyai kemudahan Pusat Akses dan makmal komputer lengkap bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran bahasa antarabangsa itu.

"Peruntukan sama akan digunakan bagi membaik pulih padang hoki dan gelanggang bola tampar sedia ada, selain mendapatkan khidmat jurulatih berkelayakan bagi melahirkan pemain muda berkebolehan.

"Kami juga tidak mengetepikan kepentingan peranan ibu bapa yang turut sama menyalurkan sumbangan dan kepakaran bagi membantu kejayaan sekolah ini," katanya.

INFO: Pencapaian Akademik dan Kokurikulum SKJ3

  • Anugerah Pengurusan Bimbingan dan Kaunseling Negeri Selangor 2005

  • Johan Pertandingan Kompang Berirama Peringkat Kebangsaan 2009

  • Wakil pasukan Hoki Kebangsaan tiga tahun berturut-turut sejak 2006

  • Pemenang Utama Pertandingan Haiku Kanak-kanak Sedunia Japanese Airlines 2008

  • Penerima Sijil Emas Pencapaian Akademik Terbaik peringkat Pejabat Pelajaran Daerah 1999 dan 2000

  • Tersenarai antara lima sekolah terbaik UPSR peringkat Negeri Selangor 2008
Berita Harian Online: 19 Ogos 2009

Tiada ulasan: