Rabu, 12 Ogos 2009

Sekolah tidak perlu cuti lebih awal: Muhyiddin

Oleh Saufi Hamzah, Sazarina Shahrim, Nazmi Yaakub dan Asrol Awang
bhnews@bharian.com.my


JURURAWAT Pejabat Kesihatan Kinta, membantu guru memeriksa suhu badan murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Lebuh Cator, Ipoh sebelum memasuki kelas, semalam.

Penutupan kelas perlu ikut prosedur, nasihat Kementerian Kesihatan

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak bercadang memberi cuti sekolah lebih awal, walaupun wujud kebimbangan ibu bapa terhadap wabak Influenza A (H1N1).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri pelajaran berkata, Kementerian Pelajaran mempunyai garis panduan mengenai penutupan sekolah yang dijangkiti wabak berkenaan.

"Sekolah tak perlu tutup kalau seorang atau dua kena (H1N1). Mereka akan dikuarantin, pelajar boleh belajar seperti biasa," katanya semalam.

Muhyiddin berkata, tidak adil jika kerajaan menutup sekolah memandangkan ada kira-kira 500,000 pelajar yang akan menduduki pelbagai peperiksaan, manakala hanya kira-kira 1,000 menghidap H1N1.

"Jangan ambil tindakan drastik yang boleh merugikan. Apapun kita sedang pantau perkembangan. Kalau boleh beri kesan pada tarikh (peperiksaan), Ketua Pengarah Pelajaran akan buat pengumuman bagaimana peringkat negeri boleh mengendalikan keadaan," katanya.

Beliau juga berkata, kementerian tidak mahu isu soalan peperiksaan bocor timbul apabila cuti diberikan tanpa kajian mendalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, lebih 100 sekolah di seluruh negara ditutup sejak wabak H1N1 melanda negara, Mei lalu.

Beliau berkata, langkah itu terpaksa dibuat dalam usaha mengawal wabak berkenaan daripada menjangkiti pelajar lain.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik kerana wabak itu masih terkawal dan pihaknya mengambil semua langkah perlu bagi memastikan virus itu tidak merebak dengan meluas.

"Sebarang penutupan sekolah mahupun kelas perlu mengikut prosedur dan hanya akan diambil selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan," katanya.

Ditanya mengenai saranan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) supaya cuti persekolahan yang dijadualkan bermula 21 Ogos depan dipercepatkan, beliau berkata, sebarang keputusan mengenai perkara itu hanya boleh diputuskan Jawatankuasa Influenza Antara Kementerian yang dipengerusikan Muhyiddin.

Di KUANTAN, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif berkata, cadangan untuk menutup semua sekolah menengah dan rendah di negeri itu selama seminggu hanya akan dilaksanakan jika ia diputuskan Jabatan Kesihatan negeri.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob mencadangkan semua sekolah di negeri ini ditutup tetapi keputusan muktamad diserahkan kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Abdul Aziz turut mengesahkan dua sekolah di Rompin iaitu Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Rompin ditutup seminggu bermula semalam, berikutan empat pelajar disahkan positif virus H1N1.

Berita Harian Online: 12 Ogos 2009

Tiada ulasan: