Sabtu, 8 Ogos 2009

Guna pakar B. Inggeris Australia di Malaysia



Muhyiddin Yassin menyerahkan memorandum perjanjian kepada Naib Canselor Universiti Edith Cowan, Profesor Kerry O.Cox selepas memeterai MoU untuk menggunakan kepakaran guru Bahasa Inggeris universiti itu di Malaysia di Perth, Australia, semalam. - BERNAMA


PERTH 7 Ogos - Kementerian Pelajaran hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Edith Cowan - institusi Bahasa Inggeris terulung di Australia Barat - untuk membawa pakar-pakarnya merangka kurikulum bahasa itu di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya turut mencapai kesepakatan dengan Naib Canselor universiti, Profesor Kerry O. Cox untuk menubuhkan pusat pembelajaran insentif Bahasa Inggeris menerusi teknik yang disesuaikan untuk keperluan negara.

''Kita melihat pengalaman mereka (universiti) dalam mengajar Bahasa Inggeris untuk warga asing seperti dari ASEAN yang ramai menetap di Australia.

''Dalam aspek ini kita bersetuju untuk mewujudkan kerjasama jangka panjang melatih guru dan menyediakan kurikulum Bahasa Inggeris yang sesuai termasuk tatabahasanya.

"Pengalaman universiti ini dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris boleh digunakan di Malaysia," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengadakan pertemuan selama sejam dengan Cox dan beberapa pensyarah terkemuka universiti yang turut masing-masing diselitkan taklimat mengenai masalah kekurangan guru Bahasa Inggeris di pedalaman Australia dan Malaysia.

Muhyiddin berkata, pertemuan beliau dengan Cox turut mencungkil pengalaman universiti itu dalam menyelesaikan kebuntuan kekurangan guru-guru di pedalaman.

''Australia merupakan benua yang luas iaitu separuh dari China, justeru bagaimana negara ini berjaya menarik minat guru-guru Bahasa Inggeris ke pedalamannya mungkin dapat digunakan oleh Malaysia yang turut mengalami masalah serupa," katanya.

Usaha untuk membentuk kurikulum baru Bahasa Inggeris di Malaysia diberi perhatian serius oleh Muhyiddin ketika mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bulan lepas.

Dalam pengumuman yang turut merencanakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu itu, Kementerian Pelajaran turut mengumumkan usaha untuk melatih atau membawa masuk 1,000 guru Bahasa Inggeris yang berkualiti.

Ketika ini kekurangan guru-guru Bahasa Inggeris begitu kritikal khususnya untuk ditempatkan di pedalaman negara.

Daripada 400,000 guru sedia ada di Malaysia, hanya 60,000 merupakan guru Bahasa Inggeris.

Utusan Malaysia Online: 8 Ogos 2009

Tiada ulasan: