Jumaat, 28 Ogos 2009

Cikgu Fadzilah bertemu jodoh di sekolah pedalaman



FADZILAH Yusuf (dua dari kanan) dan suaminya, Abdul Raziz Mamat (dua dari kiri) semasa diraikan pada majlis berbuka puasa di Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 27 Ogos – Ditugaskan di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang terletak 100 kilometer dari bandar Gua Musang yang hanya dihubungkan melalui jalan tanah merah berlumpur merupakan antara cabaran yang terpaksa dialami oleh satu-satunya guru perempuan sekolah tersebut, Fadzilah Yusuf, lebih setahun lalu.

Untuk sampai ke sekolah berkenaan juga, ada kalanya beliau terpaksa berhimpit di tepi kereta pacuan empat roda dalam perjalanan pergi dan balik yang memakan masa kira-kira lapan jam.

Ketika menerima surat tawaran ditempatkan di sekolah tersebut, Fadzillah, 28, menangis selama seminggu kerana mengenangkan nasibnya yang terpaksa tinggal di pedalaman itu tanpa berhubung dengan dunia luar kecuali ketika cuti persekolahan.

Bagaimanapun, beliau rela menghadapi segala kesukaran itu kerana memikirkan terdapat sekumpulan anak Orang Asli berketurunan Temiar yang memerlukan tunjuk ajarnya pada peringkat prasekolah.

Kecuali masa persekolahan, beliau juga terpaksa menjalankan kerja sendiri bagi mengelakkan rasa sunyi.

Namun, setelah lebih setahun setengah berkeadaan demikian, beliau akhirnya terlepas daripada rasa sunyi setelah mengambil keputusan berkahwin dengan pembantu warden asrama sekolah itu, Abdul Razif Mamat, 24, pada 7 Ogos lalu.

Sehubungan itu, hasratnya sebelum ini untuk bertugas hanya setahun di sekolah itu akan dilanjutkan dalam tempoh yang agak lama.

‘‘Kami perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah tangga sebelum mengambil keputusan bertukar ke sekolah di bandar,” katanya ketika ditemui sempena majlis meraikan perkahwinannya di sebuah hotel malam kelmarin.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Mohd. Ghazali Abdul Rahman dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Zahari Daud.

Kata Fadzilah, beliau bersepakat dengan suaminya tinggal di perkampungan Orang Asli itu untuk terus membantu meningkatkan pencapaian kanak-kanak terlibat.

SK Balar merupakan sekolah anak Orang Asli dari suku kaum Temiar yang terletak bersempadan dengan negeri Perak dan perjalanan ke sekolah itu sejauh 100 kilometer dari Gua Musang.

Guru-guru yang mengajar di SK Balar itu terpaksa menaiki kereta pacuan empat roda untuk melalui jalan balak selama empat jam sebelum sampai ke sekolah tersebut dan mereka akan terputus hubungan dengan dunia luar apabila berlaku hujan.

Menyentuh tentang penghantarannya ke sekolah berkenaan pada awal 2008, Fadzilah berkata, pada mulanya beliau berat untuk menerima kerana tempatnya yang jauh di pedalaman.

Tetapi, katanya, rayuan daripada JPN yang memintanya mengajar sekolah itu menyebabkan beliau terpaksa akur.

Sebelum itu, katanya, pada hari-hari biasa, beliau hanya bergaul dengan lebih 10 warga lelaki sekolah berkenaan dan bersama-sama berulang-alik dari sekolah ke kampung masing-masing apabila sekolah bercuti.

‘‘Kami hanya berkawan biasa sehinggalah Mac lalu apabila merasakan ada kesesuaian dengan Abdul Razif seterusnya mengambil keputusan untuk berumah tangga,” katanya.

Setelah bergelar isteri, katanya lagi, hidupnya kini sudah mempunyai matlamat antaranya membentuk sebuah keluarga bahagia di samping meningkatkan motivasi anak-anak Orang Asli itu untuk berjaya dalam pelajaran masing-masing.

Utusan Malaysia Online: 28 Ogos 2009

Tiada ulasan: