Isnin, 10 Ogos 2009

Boleh terus belajar dalam BI

PERTH 9 Ogos - Pelajar yang memulakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris boleh terus berbuat demikian sehingga mereka menamatkan pendidikan sekolah menengah mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran berkata isu itu turut dibangkitkan oleh rakannya dalam Kabinet dan beliau mahu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan mengenainya.

"Kami membincangkan perkara itu," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja lima hari beliau ke Perth yang berakhir hari ini.

Muhyiddin berkata pelajar yang mula belajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris akan terus diajar dalam bahasa itu, dan mempunyai pilihan dan kebebasan untuk menjawab soalan peperiksaan sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

"Mereka (ibu bapa) tidak perlu bimbang," katanya.

Utusan Malaysia Online: 10 Ogos 2009

Tiada ulasan: