MUAR: Seorang pelakon tambahan dan penyanyi kanak-kanak mendakwa ditampar dan ditumbuk guru kelas selepas berselisih faham dengan rakannya di sebuah sekolah rendah di sini, tengah hari kelmarin.
Muhammad Safuan Rusli, 11, mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari selepas perselisihan faham dengan rakan dalam bilik darjah ketika tiada guru di kelas.
Penolong ketua kelas mengadu kejadian membaling kertas antara dua murid itu kepada seorang guru yang mempunyai urusan di bilik komputer berdekatan, kira-kira 10 minit sebelum tamat sesi persekolahan.
“Guru itu mengarahkan saya dan rakan ke bilik komputer dan kami hanya mendiamkan diri apabila disoal. Saya kemudian dibawa masuk ke ruang bersebelahan bilik komputer sebelum ditampar beberapa kali.
“Saya hanya berdiam diri apabila ditanya kenapa bergaduh, tapi tidak lama kemudian ditarik ke ruang sebelah bilik komputer dan ditampar dua kali serta ditumbuk di muka kiri,” katanya yang pernah berlakon drama Kasut Bola dan penyanyi dalam rancangan Selamat Pagi Putera Puteri disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum ini.
Sementara itu, ibunya, Nor Arazah Yusoff, 45, berkata dia pelik Safuan pulang lewat dari sekolah pada hari kejadian dan ketika menunggu di tembok berhampiran rumah, dia melihat anaknya menunggang basikal sambil menangis.
Menurutnya, sebaik ditanya, Safuan mendakwa ditampar dan ditumbuk gurunya selepas bergaduh dengan rakan sekelas.
“Apabila melihat kecederaan pada mulutnya, saya membawanya ke klinik swasta, tapi diarahkan merujuk kes itu ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut dan selepas X-Ray terdapat kesan lebam di kiri muka anak saya.
“Saya membuat laporan di Balai Polis Muar pada hari kejadian sebelum membawa kes itu ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Muar,” katanya.
Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Mas’od Idris menolak dakwaan guru sekolahnya menumbuk murid terbabit, tetapi tidak menafikan berlaku sentuhan antara guru dengan mangsa, tetapi dengan niat memberi pengajaran.
Menurutnya, beliau hanya mengetahui kejadian itu pagi semalam selepas dipanggil pegawai PPD Muar dan terus menjalankan siasatan dalaman bagi mengetahui punca kejadian.
“Guru itu sudah dipanggil dan dia menafikan menumbuk murid berkenaan. Malah, seorang daripada murid sudah dipanggil dan pihak sekolah tidak boleh menghalang jika ibu bapa membuat laporan polis,” katanya.
myMetro: 15 Ogos 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan