Jumaat, 7 Ogos 2009

Guru agama digesa tingkatkan ilmu

MERSING 6 Ogos - Guru-guru agama di daerah ini disaran meningkatkan ilmu masing-masing bagi membantu merealisasikan misi nasional melahirkan negara bangsa yang berakhlak mulia.

Pegawai Pendidikan Agama Daerah Mersing, Hidris Shahri berkata, tanggungjawab profesion perguruan termasuk guru agama semakin mencabar pada ini dan akan datang.

"Guru agama turut dinilai oleh masyarakat dalam pembinaan negara bangsa selain pendidikan agama yang dapat membina akhlak manusia yang bernilai murni," katanya semasa merasmikan sambutan Hari Guru-guru Agama di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing, di sini baru-baru ini.

Majlis yang bertemakan 'Guru Pembina Negara Bangsa' itu dihadiri kira-kira 200 orang guru agama di seluruh daerah ini.

Pada majlis itu, Anugerah Tokoh Guru Sekolah Menengah Agama diberikan kepada Allahyarham Ramian Tuge @ Togy.

Anugerah Tokoh Guru Sekolah Agama pula diberikan kepada Tabrani Mahmood, 65, yang telah 10 tahun bersara, manakala Anugerah Khas Guru pula milik Abd. Halim Awang, 65.

Sambutan itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman.

Utusan Malaysia Online: 7 Ogos 2009

Tiada ulasan: