Ahad, 16 Ogos 2009

Sekolah sukar dapat topeng boleh hubungi jabatan



Alimuddin Mohd Dom

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom mengarahkan sekolah yang sukar mendapatkan topeng muka untuk diagihkan kepada pelajar bagi mencegah jangkitan Influenza A (H1N1) supaya menghubungi Jabatan Pelajaran negeri masing-masing.

Katanya, dakwaan ada sesetengah sekolah tidak mengagihkan alat pelindung itu kepada pelajar walaupun peruntukan khas RM2.6 juta sudah disalurkan Kementerian Pelajaran bagi tujuan berkenaan, mungkin disebabkan kehabisan stok topeng muka di pasaran berikutan permintaan tinggi yang diterima.

“Kita sudah menyalurkan RM2.6 juta kepada semua Jabatan Pelajaran negeri, kira-kira dua minggu lalu untuk diagihkan kepada sekolah bagi membiayai pembelian topeng muka dan alat mengukur suhu badan. Sepatutnya semua sekolah sudah menerima peruntukan berkenaan.

“Sekiranya memang ada sekolah yang belum mengagihkan topeng muka kepada pelajar disebabkan tiada stok, mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada sekolah, terutama yang mempunyai jumlah pelajar ramai, mengambil langkah mengagihkan topeng muka berdasarkan keperluan dan bukan secara menyeluruh kepada semua pelajar.

“Contohnya, sekolah menyediakan topeng muka untuk pelajar dalam kelas sama atau berdekatan dengan mangsa jangkitan H1N1 kerana bekalan terhad dan perlu ditukar selalu. Bagaimanapun, setakat ini saya belum terima laporan atau aduan mengenai sekolah tidak mengagihkan topeng muka kepada pelajar,” katanya.

Mengenai tindakan segelintir ibu bapa yang melarang anak mereka ke sekolah kerana bimbang dengan jangkitan H1N1, Alimuddin berkata, pelbagai langkah rapi dan proaktif sudah diambil untuk membendung penularan wabak itu di sekolah.

“Sehubungan itu, ibu bapa jangan bimbang atau panik. Kementerian dan pihak sekolah tidak akan menyembunyikan sebarang kes H1N1. Tindakan melarang anak menghadiri sekolah tanpa keperluan akan menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Berita Harian Online: 16 Ogos 2009

Tiada ulasan: