Khamis, 6 Ogos 2009

Warden denda hisap 4 kotak rokok

Oleh Adha Ghazali
bhnews@bharian.com.my


MOHD ALIF bersama Faridah menunjukkan laporan polis yang mendakwa warden asrama sekolah mendendanya menghisap empat kotak kecil rokok Gudang Garam.

Pelajar dakwa hampir pengsan selepas jalani hukuman walaupun nafi kesalahan

LANGKAWI: Seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Pulau Tuba di sini, mendakwa hampir pengsan selepas dipaksa menghabiskan empat kotak kecil rokok Gudang Garam sebagai hukuman memiliki sebatang rokok warden asramanya pada 26 Julai lalu.

Malah, mangsa, Mohd Alif Ariffin, 16, yang juga anak yatim dari Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi (SMKL) turut mendakwa pening dan batuk serta hilang selera makan selama seminggu.

Ketika ditemui di sini, semalam, Mohd Alif berkata, dia dipaksa menghabiskan semua empat kotak rokok Gudang Garam selepas warden yang juga guru sekolahnya menemui sebatang rokok di dalam laci asramanya pada hari sama.

“Walaupun saya berkali-kali menafikan rokok itu milik saya, guru tetap memaksa menghabiskan semua rokok berkenaan sehingga menyebabkan air liuh meleleh dengan banyak sekali dan bibir saya hampir bengkak kebiruan.

"Akhirnya, selepas hampir dua jam setengah dan kira-kira 42 batang rokok dihabiskan, barulah guru itu membenarkan saya berhenti selepas melihat muka saya mulai pucat dan hampir pengsan, selepas batuk tidak berhenti," katanya.

Ibu saudaranya, Faridah Mat Zain, 32, berkata beliau hairan melihat Mohd Alif apabila dia pulang ke rumah dengan keadaan bibirnya bengkak, selain sering batuk dan tidak banyak bercakap.

"Selepas didesak berkali-kali, barulah dia menceritakan kejadian itu, sebelum saya membawanya ke Klinik Kesihatan Kampung Selat untuk pemeriksaan kesihatan.

"Bagaimanapun, klinik mengarahkan Mohd Alif dibawa ke Hospital Langkawi. Saya turut membuat laporan polis mengenai kejadian itu,” katanya.

Faridah berkata, beliau kecewa dengan tindakan melampau sekolah yang menghukum Mohd Alif, sedangkan anak saudaranya itu sudah menafikan rokok itu miliknya.

“Jika bersalah sekali pun, hukuman menghabiskan lebih 40 batang rokok Gudang Garam bukan cara yang betul, apatah lagi ia boleh mengundang risiko kepada kesihatannya.

"Paling mengecewakan, pihak sekolah bersikap lepas tangan apabila ditanya mengenainya. Mereka menyatakan itu kes terpencil,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Harrith Kam Abdullah, mengesahkan menerima laporan mengenainya pada 29 Julai lalu.

"Kita sudah panggil semua pihak dan satu perjumpaan diadakan membabitkan pengetua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan keluarga pelajar.

"Hasilnya, kita putuskan tiada sebarang kesalahan jenayah dan kes itu dianggap selesai. Terpulang kepada Jabatan Pelajaran Kedah untuk mengambil tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pusat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi, Halid Ali, menyifatkan hukuman dikenakan ke atas pelajar itu amat kurang wajar dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Berita Harian Online: 6 Ogos 2009

Tiada ulasan: