Sabtu, 22 Ogos 2009

Kenyataan Media: Isu 108 Pengetua Gred DG52 Diturunkan Pangkat

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
SEBAGAI MAKLUM BALAS KEPADA BERITA MENGENAI MARUAH 108 ORANG PENGETUA GRED DG52 TERCALAR DITURUNKAN PANGKAT SEPERTIMANA YANG DILAPORKAN DI MUKA SURAT 19 AKHBAR BERITA HARIAN BERTARIKH 18 OGOS 2009

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa saya telah diarah merujuk kepada laporan berita yang disiarkan di muka surat 19 akhbar Berita Harian pada 18 Ogos 2009 mengenai isu Maruah 108 Orang Pengetua Gred DG52 Tercalar Diturunkan Pangkat.

2. Untuk makluman tuan, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) menetapkan bahawa urusan pemangkuan sesuatu jawatan kenaikan pangkat hendaklah diisi oleh calon-calon yang telahpun diluluskan pemangkuan oleh LKPPP sahaja. Perkara ini dibuat sedemikian, bagi menentukan wujudnya kesaksamaan, keadilan dan tidak ada elemen pilih kasih dalam sesuatu urusan pemangkuan ke gred-gred kenaikan pangkat.

3. Walau bagaimanapun, adalah didapati seramai 108 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang belum diluluskan pemangkuan oleh LKPPP untuk memangku sesuatu jawatan yang lebih tinggi daripada gred jawatan hakiki masing-masing telahpun ditempatkan ke jawatan-jawatan kenaikan pangkat berkenaan secara pentadbiran oleh pihak-pihak tertentu. Mereka yang terlibat adalah terdiri daripada 11 orang PPPS di Kementerian/IPGM, 4 orang PPPS di Jabatan Pelajaran Negeri, 7 orang PPPS di Pejabat Pelajaran Daerah dan bakinya seramai 86 orang adalah Pengetua Sekolah Menengah. Maklumat lanjut mengenai perkara ini adalah seperti di Lampiran A.

4. Apabila keadaan ini berlaku, ia telah menutup peluang calon-calon yang telahpun diluluskan pemangkuan oleh LKPPP untuk memangku jawatan-jawatan kenaikan pangkat kerana jawatan-jawatan tersebut telah diisi oleh pegawai-pegawai lain yang belum layak dan belum lagi diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Keadaan ini menyebabkan mereka yang telahpun diluluskan pemangkuan ke gred-gred kenaikan pangkat mencemuh Kementerian Pelajaran Malaysia bahawa urusan pemangkuan adalah tidak adil, tidak telus dan memberi keutamaan kepada kronisme. Sebagai contoh, 35 daripada 55 orang PPPS gred DG52 tidak boleh memangku jawatan DG54 kerana jawatan tersebut telah diisi oleh calon-calon yang belum diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Selain daripada itu, 466 daripada 781 orang PPPS Gred DG48 tidak dapat memangku jawatan Gred DG52 kerana jawatan tersebut juga telah diisi oleh calon-calon yang belum diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Malahan, terdapat seramai 2570 orang daripada 3413 orang PPPS DG44 yang telah diluluskan pemangkuan ke Gred DG48 tidak dapat memangku Gred DG48 kerana jawatan-jawatan berkenaan telah diisi oleh calon-calon yang tidak diluluskan pemangkuan oleh LKPPP.

5. Khusus untuk memperbetulkan kepincangan tersebut, satu kertas kerja telahpun dibentangkan di Mesyuarat Pengurusan KPM Bil. 9/2009 pada 24 Jun 2009. Setelah menimbangkan perkara tersebut dengan teliti dan terperinci, Mesyuarat Pengurusan KPM berkenaan memutuskan supaya 108 orang pegawai yang tidak layak menduduki jawatan-jawatan kenaikan pangkat kerana belum lagi dipertimbang dan diluluskan pemangkuan ke jawatan kenaikan pangkat oleh LKPPP itu ditempatkan kembali ke jawatan-jawatan yang setara dengan gred hakiki masing-masing. Tindakan ini sama sekali tidak bermaksud untuk menurunkan pangkat mereka yang terlibat. Apa yang berlaku ialah mereka ditempatkan semula ke jawatan-jawatan yang setara dengan gred jawatan hakiki masing-masing. Selain daripada itu, KPM tidak boleh dan tidak pernah membayar elaun memangku jawatan kenaikan pangkat kepada mereka yang berkenaan kerana mereka belum lagi diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Justeru itu, penempatan semula mereka ke jawatan-jawatan yang setara dengan gred hakiki masing-masing tidak akan melibatkan apa-apa kerugian kewangan kerana pada asasnya KPM tidak boleh membayar apa-apa elaun memangku kepada mereka. Dengan cara ini, barulah ia dapat memberi laluan kepada pegawai-pegawai yang telahpun diluluskan pemangkuan oleh LKPPP untuk memangku jawatan-jawatan kenaikan pangkat tersebut dan seterusnya menikmati pertambahan elaun kerana dibayar elaun memangku gred kenaikan pangkat oleh KPM.

6. Untuk makluman tuan, hanya Lembaga Tatatertib PPPS di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sahaja yang berkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang PPPS yang diambil prosiding tatatertib itu diturunkan pangkat atau dibuang kerja apabila terbukti bersalah. Dalam konteks ini, kesemua 108 PPPS yang terlibat tidak menghadapi apa-apa prosiding tatatertib. Justeru itu, isu yang mengatakan bahawa mereka telah diturunkan pangkat adalah tidak tepat dan mengelirukan sama sekali.

7. Berasas kepada keputusan Mesyuarat Pengurusan KPM Bil. 9/2009, saya selaku TKSU (Pengurusan) telahpun mengangkat memo bil. KP(PP)0089/81/6 (53) bertarikh 2 Julai 2009 kepada Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) bagi melaksanakan keputusan Mesyuarat Pengurusan KPM Bil. 9/2009 tersebut. Dalam hal ini Y. Bhg. Tan Sri Dato’ KPPM telahpun memberi persetujuan untuk melaksanakan perkara tersebut.

8. Dengan penjelasan-penjelasan di atas, tidak timbul sama sekali isu 108 orang PPPS termasuk Pengetua-Pengetua itu diturunkan pangkat mereka. Mereka hanyalah ditempatkan semula di jawatan-jawatan yang setara dengan gred hakiki masing-masing. Kekosongan jawatan kenaikan pangkat yang ditinggalkan itu akan diisi oleh mereka yang telah layak dan telah diluluskan pemangkuan oleh LKPPP. Oleh itu, kenyataan bahawa ini merupakan serangan oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) terhadap warga pendidik dengan cuba merendahkan sumbangan guru adalah tidak tepat dan tidak berasas sama sekali. Ini kerana isu berkenaan telahpun dibincangkan di Mesyuarat Pengurusan KPM Bil. 9/2009 dan telahpun dipersetujui oleh Y. Bhg. Tan Sri Dato’ KPPM serta ketiga-tiga orang Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

9. Dalam hal ini, dukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia merasa terkilan di atas penyiaran berita yang mengandungi maklumat-maklumat yang kurang tepat sehingga boleh menjejaskan imej dan kredibiliti baik kementerian ini di kaca mata Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) khususnya dan kepada masyarakat umum amnya. Justeru itu, kerjasama tuan adalah dipohon untuk menyiarkan penjelasan-penjelasan yang diberikan di atas khusus untuk memurnikan kekeruhan yang berlaku akibat daripada penyiaran berita yang kurang tepat mengenai hal ini.

Sekian, terima kasih.

(DATUK HJ. KAMARUZAMAN B. HJ. MOHD. NOOR)
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan)

Rujukan: http://www.moe.gov.my/?id=26&aid=338

Tiada ulasan: