Oleh Hadzlan Hassan
hadzlan@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Marang, dekat sini, secara berterusan memeluk beg berdarah sepanjang berada dalam kereta gurunya ketika dibawa ke sebuah klinik kesihatan membongkar rahsia ia sebenarnya memuatkan mayat bayi perempuan.
Difahamkan, beg yang turut mengandungi peralatan sekolah itu mulanya tidak mendatangkan syak guru berkenaan sehingga ia dibuka seorang kakitangan klinik kesihatan terbabit, sekali gus membongkar tindakan pelajar tingkatan lima itu melahirkan bayi dalam tandas sekolah itu, semalam.
Bagaimanapun, tindakan pelajar berkenaan menyembunyikan bayi seberat 3.6 kilogram dalam beg itu menyebabkan bayi berkenaan meninggal dunia ketika pelajar itu ditemui guru terbabit, kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata kejadian itu disedari guru wanita berkenaan sebaik menemui pelajarnya yang berusia 17 tahun itu duduk dalam keadaan bertangkup dan hampir pitam berhampiran tandas sekolah.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut dengan alasan kes berkenaan masih dalam siasatan termasuk masih mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kami masih menunggu ketibaan pakar perubatan bagi membantu siasatan. Cuma, saya mengesahkan memang ada kes kematian bayi dalam beg sekolah dilaporkan petang tadi (semalam) dan kes itu kini dikendalikan sepasukan anggota penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.
“Difahamkan, ketika ditemui, pakaian pelajar itu basah kuyup dan dia sempat memberitahu gurunya kononnya paip tandas bocor sebelum dibawa ke klinik kesihatan berhampiran selepas didapati berada dalam keadaan pucat dan hampir pitam,” katanya.
Harian Metro difahamkan, ketika mahu dibawa ke klinik, pelajar itu enggan melepaskan beg sekolahnya walaupun dia hampir pitam sebaik berada dalam kereta, namun guru itu masih tidak mengesyaki apa-apa.
Beg berkenaan hanya diketahui mengandungi mayat bayi apabila kakitangan klinik membukanya dan terkejut apabila menemui mayat bayi perempuan cukup sifat bersama beberapa kelengkapan sekolah lain.
Difahamkan, pelajar berkenaan dikatakan sering membawa buku, malah dilihat sentiasa memeluk buku rujukan menyebabkan kehamilannya tidak disedari.
Setakat jam 10 malam tadi, pelajar itu masih dirawat di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, sambil ditemani ibunya, manakala mayat anaknya belum dapat dikeluarkan walaupun seorang kakitangan sekolah bersedia menguruskan pengebumian bayi malang itu.
myMetro: 6 Ogos 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan