Jumaat, 14 Ogos 2009

Sekolah jadi elemen penting cegah dadah



ABDUL Aziz Redwan (kanan) bersalaman dengan pemenang-pemenang Pertandingan Pidato Pendidikan Pencegahan Dadah Peringkat Negeri Johor di SMK Tasek Utara 2, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 13 Ogos - Institusi pendidikan seperti sekolah adalah elemen penting dalam strategi pencegahan bagi melahirkan generasi baru yang bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor, Abdul Aziz Redwan berkata, warga pendidik menggalas tanggungjawab besar bagi melahirkan modal insan bebas daripada ancaman dadah.

"Ini selaras dengan hasrat Kementerian Pelajaran menjadikan sekolah bebas daripada dadah menjelang 2012," katanya selepas merasmikan Pertandingan Pidato Pendidikan Pencegahan Dadah peringkat negeri di sini semalam.

Pertandingan yang bertemakan Masyarakat Madani Tanpa Dadah terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Beliau berkata, menerusi pertandingan itu, diharapkan para pelajar memperoleh pelbagai ilmu dan pengetahuan mengenai pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah.

"Saya yakin pertandingan ini mampu membuka minda pelajar dan mencetuskan kefahaman terhadap kesan negatif akibat penyalahgunaan dadah," katanya.

Jelasnya, trend penagihan dadah di negara ini telah berubah apabila golongan yang mempunyai punca pendapatan tinggi lebih cenderung menjadi penagih berbanding penganggur sebelum ini.

"Ini kerana semakin banyak wang yang diperoleh seseorang, semakin tinggi kemungkinan dia menjadi buruan pengedar dadah. Ibarat di mana ada gula, di situ ada semut," katanya.

Utusan Malaysia Online: 14 Ogos 2009

Tiada ulasan: