Isnin, 3 Ogos 2009

KPI sektor pendidikan realistik

Hanya beberapa ubah suai diperlukan sedia kurikulum berkualiti: NUTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sektor pendidikan adalah realistik dan boleh dicapai dengan beberapa pengubahsuaian.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata pengubahsuaian perlu dilakukan dalam membentuk dan membangunkan kandungan kurikulum berkualiti, termasuk kemahiran dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata, fokus perlu diberi pada pendidikan prasekolah bagi memastikan kanak-kanak diajar tiga perkara asas iaitu membaca, menulis dan mengira.

"Kesatuan berasa bersemangat apabila cadangan kesatuan untuk menjadikan pendidikan prasekolah sebagai sebahagian sistem pendidikan kebangsaan diterima kerajaan dan dijadikan satu daripada KPI.

"Ini adalah satu langkah terbaik untuk mencapai pendidikan berkualiti kerana asas kuat pendidikan perlu diwujudkan pada tahun awal pembentukan sebelum anak-anak memulakan alam persekolahan rasmi," katanya.

Lok berkata, pada masa ini hanya kira-kira 60 peratus kanak-kanak berpeluang mengikuti pendidikan prasekolah berikutan faktor kos dan kemudahan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu memberi perhatian mewujudkan peluang mendapat kemudahan pendidikan prasekolah kepada golongan kurang berkemampuan dengan memastikan bayaran kelas prasekolah berpatutan dan dikendalikan oleh mereka yang berpengalaman serta terlatih.

Beliau berkata, jika tindakan yang betul diambil sekarang, KPI yang memastikan semua murid memasuki Tahun 4 pada 2012 boleh membaca, menulis dan mengira akan dapat dicapai.

Mengenai KPI untuk memberi anugerah kepada pengetua dan guru besar berdasarkan kepada pencapaian sekolah, Lok berkata, ia perlu diubahsuai dengan meliputi guru dan pelajar kerana tanpa kerjasama penuh dan penyertaan guru dan pelajar, sekolah tidak akan mencapai matlamat dan sasarannya.

Beliau berpendapat kenaikan gaji, pangkat, elaun khas bagi guru dan meningkatkan kemudahan di sekolah terutamanya dari segi teknologi komunikasi maklumat (ICT), perpustakaan, sukan dan kemudahan lain akan memberi manfaat kepada pelajar dan warga sekolah.

Mengenai usaha menjadikan 100 sekolah bestari sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, Lok berkata, ia boleh dicapai jika jurang perbezaan antara sekolah bandar dan luar bandar dapat dikurangkan dan peluang yang sama diberikan kepada tenaga sumber manusia serta penyediaan kemudahan. � Bernama

Berita Harian Online: 3 Ogos 2009

Tiada ulasan: