Khamis, 20 Ogos 2009

Kementerian beri 5 alasan MBMMBI dilaksana pada 2012

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran semalam mengemukakan lima sebab bagi menjawab persoalan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilaksanakan pada 2012, bukan pada 2010 seperti didesak beberapa pihak.

Lima alasan itu berkaitan penyediaan buku teks, menggubal kurikulum, latihan kepada guru, mengenal pasti buku rujukan yang sesuai dan menyediakan perkakasan seperti makmal Bahasa Inggeris (BI) yang mencukupi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata tempoh yang panjang juga dapat memastikan segala kelemahan sewaktu pelaksanaan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak berulang.

"Kementerian Pelajaran memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk menyediakan segala keperluan seperti buku teks, kurikulum, latihan kepada guru, menambah jumlah guru, mengenal pasti buku rujukan yang sesuai dan lain-lain perkakasan seperti makmal BI.

"Tempoh yang panjang itu juga perlu bagi mengelakkan kecelaruan di kalangan pelajar kerana selama ini mereka mengikuti pengajian mengikut dasar PPSMI, selain memastikan guru benar-benar bersedia melaksanakan dasar baru ini," katanya pada sidang media mengenai hasil mesyuarat meja bulat panel MBMMBI di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan beberapa pihak yang mahu MBMMBI dilaksanakan tahun depan dan bukannya pada 2012 berikutan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI pada Julai lalu.

Mengenai dasar PPSMI, katanya, guru besar dan pengetua diminta memastikan guru terus melaksanakan dasar itu hingga 2012, sejajar keputusan Kabinet.

Beliau berkata, guru yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kerana melanggar dasar ditetapkan kerajaan.

"Guru besar dan pengetua perlu memantau keadaan kerana dasar PPSMI akan kekal sehingga 2012.

"Lagipun, perkara ini tidak sepatutnya berlaku (mengajar dalam BM) kerana sukatan pelajaran, perisian komputer dan buku teks subjek Sains dan Matematik masih dalam BI," katanya.

Mengulas tindakan sekolah mengadakan peperiksaan dalaman dalam BI, Alimuddin berkata, kebanyakannya membabitkan sekolah di kawasan bandar kerana sekolah di luar bandar selalunya memilih mengadakan peperiksaan dalaman dalam dwibahasa iaitu BM dan BI.

Berita Harian Online: 20 Ogos 2009

Tiada ulasan: