Khamis, 13 Ogos 2009

SMK Kubang Bemban menang anugerah



Sebahagian daripada guru yang menerima Anugerah Sinar Wawasan daripada PPD Pasir Mas di Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 12 Ogos - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban memenangi Anugerah Puncak Sinar Wawasan Kategori Sekolah Menengah Peringkat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas di sini baru-baru ini.

Sekolah bestari di jajahan itu dipilih setelah menjuarai pelbagai kecemerlangan akademik dan kokurikulum, antaranya Anugerah Seri Asrama Terbilang Peringkat Kebangsaan, pencapaian 100 peratus peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 2 pula memenangi anugerah itu bagi kategori sekolah rendah apabila cemerlang dalam peningkatan peratus 5A dan Anugerah Sekolah Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sebanyak 30 buah sekolah dari 74 buah sekolah rendah dan menengah di jajahan Pasir Mas terpilih menerima pelbagai hadiah cemerlang di majlis itu.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD), Pasir Mas, Rosnah Wan Ibrahim semasa berucap di majlis berkenaan berkata, program Sinar Wawasan merupakan amalan tradisi PPD itu dalam menghargai kejayaan yang dicapai sekolah di jajahan itu.

''Ia bagi menggalakkan semua sekolah berusaha untuk mencapai kejayaan dalam semua bidang pendidikan," katanya.

Hadir sama di majlis itu termasuk Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Mohd. Ghazali Ab. Rahman.

Utusan Malaysia Online: 13 Ogos 2009

Tiada ulasan: