Jumaat, 7 Ogos 2009

Sekolah jenis kebangsaan tidak pernah dipinggirkan

PUCHONG 6 Ogos - Kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah jenis kebangsaan sebaliknya mereka turut menikmati pembangunan dan layanan yang sama seperti sekolah kerajaan lain.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, sebarang proses penambahbaikan ataupun pembinaan setiap sekolah terlibat bagaimanapun memerlukan kajian teliti sebelum ia dapat dilaksanakan.

Beliau memberi contoh tentang projek pembinaan dewan dan kantin baru Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yak Chee di sini yang bernilai RM4 juta sebagai bukti bahawa kerajaan tetap prihatin terhadap sekolah jenis kebangsaan.

Jelasnya, projek itu bakal menyediakan kemudahan asas lengkap serta memberikan keselesaan kepada pelajar yang selama ini terpaksa bersesak-sesak.

''Projek pembinaan yang didirikan di atas kawasan seluas 3,000 kaki persegi itu bakal menempatkan kantin serta dewan baru untuk kemudahan pelajar serta kakitangan SJK (C) Yak Chee yang jumlah pelajarnya kini seramai 4,000 orang,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah SJK (C) Yak Chee di sini hari ini.

Menurutnya, pembinaan itu perlu disegerakan kerana bilangan pelajar kini semakin bertambah hingga menyebabkan mereka terpaksa bersesak-sesak terutamanya ketika waktu rehat.

''Dengan adanya dewan dan kantin baru ini, kita harap ia dapat memberikan keselesaan serta mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di kalangan pelajar,'' katanya.

Hadir sama dalam majlis, Penyelia Sekolah Cina Negeri, Alan Yew; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Erwan Tan Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Chan Chee Woh.

Dalam pada itu katanya, pendekatan turun padang serta berkhidmat kepada rakyat akan diteruskan agar hasrat kerajaan membantu rakyat di setiap peringkat terlaksana, selaras prinsip kerajaan iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Utusan Malaysia Online: 7 Ogos 2009

Tiada ulasan: