Kerajaan akan menawarkan ganjaran berbentuk insentif kewangan dan bukan kewangan serta autonomi mentadbir kepada pengetua dan guru besar sekolahyang menunjukkan prestasi cemerlang.
Ia bertujuan untuk memastikan sekolah ditadbir secara profesional oleh pengetua dan guru besar serta pasukan pengurusan mereka.
Ketika membentang bajet di Parlimen hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang, kerajaan akan memperkenalkan Bai'ah (perjanjian) baru bagi menghargai jasa dan prestasi para pengetua serta guru besar.
"Kerajaan akan menentukan sasaran prestasi yang perlu dicapai oleh pengetua dan guru besar yang dipersetujui bersama.
"Sekiranya sasaran tersebut dicapai, ganjaran bentuk insentif kewangan dan bukan kewangan serta autonomi dalam mentadbir sekolah akan diberikan.
"Namun bagi mereka yang tidak mencapai sasaran selama dua tahun berturut-turut, tidaklah pula terlepas daripada pemerhatian pihak kerajaan.
"Tentunya tindakan yang bersesuaian akan diambil. Kesemuanya ini dilakukan atas prinsip kebertanggungan untuk melahirkan generasi hari muka yang cemerlang," kata perdana menteri.
Selain itu, katanya, sebagai galakan, kerajaan berhasrat memberi ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan.
Untuk itu, kata Najib, kerajaan akan menganugerahkan biasiswa nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan terbaik, berasaskan merit sepenuhnya.
Penerima biasiswa ini, katanya, akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.
Di samping itu, kata perdana menteri, kerajaan akan menukar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pelajar yang memperolehi ijazah sarjana muda kelas pertama atau yang setaraf dengannya mulai tahun depan.
Perdana menteri itu juga berkata pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, yang berusia 13 tahun sehingga masih bertaraf pelajar, akan diberi diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan keretapi KTMB jarak jauh
"Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma boleh diperolehi dari KTMB. Diskaun tambang ini bermula 1 Januari 2010," katanya.
Kerajaan juga, katanya, menawarkan pakej netbook, termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun.
Sebagai permulaan, katanya, Pakej ini ditawarkan oleh Telekom Malaysia kepada 100,000 pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari depan.
malaysiakini: 24 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan