KEBELAKANGAN ini, sering terdengar rungutan daripada guru siswazah, DG41 yang pada asalnya dari kalangan guru bukan siswazah DG29, DG32 atau DG34 yang menyambung belajar dan akhirnya bergelar guru siswazah.
Perkara ini timbul sejak lama dahulu namun tindakan yang diambil oleh Kementerian Pelajaran agak perlahan.
Terdapat di kalangan guru siswazah ini yang kini masih mengajar di sekolah rendah telah menyambung pelajaran di peringkat sarjana dan daripada kajian yang dijalankan bilangan mereka ini mencecah ribuan orang di seluruh Malaysia.
Namun sekali lagi mereka kecewa kerana setelah bergelar guru sarjana (master), apabila hendak memohon sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia yang ada di seluruh negara, syarat yang dikenakan kini mesti berada di tingkat DG44.
Terdapat guru yang berpengalaman lebih 15 dan 20 tahun mengajar di sekolah rendah di merata ceruk termasuk di pedalaman Pahang, Sabah dan Sarawak. Saya adalah salah seorang daripadanya.
Semasa ditempatkan di sekolah pedalaman, memang tiada peluang untuk melanjutkan pelajaran. Namun setelah pulang dan berkhidmat di negeri sendiri, peluang yang ada digunakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda dan seterusnya ke peringkat sarjana.
Namun setelah berpenat lelah melanjutkan pelajaran selama hampir sembilan tahun, lalu apabila ditanya kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Bahagian Pendidikan Guru, saya terpaksa menanti tiga tahun lagi iaitu setelah dinaikkan ke DG 44 barulah berpeluang untuk memohon sebagai pensyarah IPG.
Ini tidak mungkin berlaku di kalangan guru yang asalnya dari kalangan guru siswazah di sekolah menengah.
Sekolah Rendah Kedah
Utusan Malaysia Online: 22 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan