Jumaat, 23 Oktober 2009

Sekolah satu aliran jayakan 1Malaysia


BUKIT MERTAJAM - Sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai.

Tokoh sejarah dan akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata, sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Katanya, sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan.

"Kita tidak perlu kepada sekolah yang banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik darjah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program wacana 'One Malaysia: Cabaran dan Harapan' sempena program semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan di sini semalam.

Kay Kim berkata, beliau menjangkakan ada pihak yang membantah cadangan itu tetapi mereka perlu menilai semula sejauh mana sistem pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan negara bangsa.

Kosmo Online: 23 Oktober 2009

Tiada ulasan: