Isnin, 19 Oktober 2009

Syor sekolah dewasa ajar bahasa kebangsaan

SAYA ialah pendidik baru di sekolah jenis kebangsaan berasa amat beruntung kerana mengajar subjek Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Bahasa ini hanya dipelajari untuk lulus peperiksaan, bukan diamalkan. Saya setuju bahasa Melayu menjadi bahasa penting di sekolah. Ia perlu dihayati semua pihak sesuai dengan konsep 1Malaysia.

Bahasa kebangsaan bukan saja dihayati dengan pelancaran Bulan Bahasa, mencerminkan sikap toleransi antara kaum. Kelemahan menguasai bahasa kebangsaan dengan betul dan sopan, amat meruncing. Pendidikan yang diterima murid dan pelajar mampu meningkatkan penguasaan bahasa ini.

Cuma orang tua yang bukan penutur utama tidak fasih dan tidak tahu bahasa kebangsaan kerana terpisah oleh tempat dan lingkungan sosial mereka. Namun, menghairankan apabila mereka mendiami negara yang 52 tahun merdeka gagal berbahasa Kebangsaan.

Saya cadang dihidupkan kembali sekolah dewasa. Jangan biar jurang generasi membarah dalam masyarakat kerana tidak menguasai bahasa kebangsaan. Kita sering mengejar bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan, tetapi lupa mengenai bahasa yang sudah menjadi tamadun sendiri. Negara kita maju dengan bahasa kebangsaan.

Adakah kita lupa sejarah yang membuktikan bahasa kebangsaan meminjam banyak perkataan asing supaya setaraf dengan bangsa lain.

Kita bukan setakat menghayati dengan mendengar ucapan dalam bahasa kebangsaan tetapi mengukuhkan pendidikan bahasa itu di sekolah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan.

Falsafah pendidikan dengan jelas mahu mendidik murid ke arah satu usaha yang berterusan. Peranan pendidik penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

NORHAIDI MOHD NORDIN,

Kelantan.

Berita Harian Online: 19 Oktober 2009

Tiada ulasan: