KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada dasar untuk mendiskriminasi dalam pemilihan guru pelatih berdasarkan penampilan fizikal.
Merujuk kepada aduan Joanna Gilbert Asson yang mendakwa dia diminta menarik diri daripada mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru, kampus Rajang, ketika mendaftar oleh seorang pegawai kanan institut itu kerana penampilannya, Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyiasat perkara itu.
“Berdasarkan kelayakan dan kriteria standard ditetapkan, Joanna berjaya dalam proses pemilihan dan dengan itu layak sebagai pelatih baru bagi mengikuti kursus latihan perguruan lepasan ijazah.
“Kementerian dimaklumkan Joanna melaporkan diri bagi pendaftaran pada 22 Jun 2009 dan kemudian memutuskan menarik diri daripada kursus itu dan meminta bayaran balik yuran pendaftaran,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dalam laporan berita semalam, Joanna, 29, mendakwa menjadi mangsa diskriminasi apabila pegawai kanan di institut itu memberitahu dia terlalu gemuk untuk menjadi seorang guru.
Joanna mendakwa pegawai lelaki itu berkata kepadanya: “Awak gemuk. Awak tidak mungkin menjadi seorang guru. Awak nampak tidak sihat, datang semula tahun depan selepas kuruskan badan.”
Muhyiddin harap Joanna menimbangkan semula keputusan menarik diri daripada mengikuti kursus yang ditawarkan itu. - Bernama
myMetro: 23 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan