Selasa, 13 Oktober 2009

Semangat perpaduan kunci kejayaan SMK Batu 4, Gerik

IPOH – Semangat perpaduan menjadi teras kejayaan kepada mereka yang berpegang kepada prinsip berkenaan dalam mencapai sebarang kejayaan baik dari segi pelajaran atau pertandingan.

Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Empat, Gerik, Mohd Shamir Hafiz Zainal,13, berkata, untuk mencapai kejayaan dalam sebarang aktiviti atau pertandingan, semangat berpasukan tidak kira kaum perlu diperkukuhkan agar segala cabaran yang datang dapat dihadapi dengan baik.

“Semangat berpasukan dan bekerjasama amat dititikberatkan sebagai satu pasukan agar kejayaan boleh menjadi milik kami apabila dengan berkat kerjasama kami berjaya menjadi juara bagi Pertandingan Koir Lagu-Lagu Perpaduan Peringkat Negeri Perak ini.

“Kejuaraan kami dalam pertandingan ini akan kami teruskan bagi pertandingan seterusnya di Pahang akan datang dalam peringkat Negeri-negeri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan berkenaan di Taman Budaya Perak, 7 Oktober lalu.

Beliau berkata, tugasnya juga amat mencabar iaitu sebagai konduktor koir kumpulan sekolah mereka supaya memberikan arahan kepada kumpulan untuk melagukan lagu koir berkenaan dengan baik bagi memastikan setiap gerakan teratur dan sama.

“Di samping itu, saya juga bertindak sebagai mengarahkan kumpulan yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima kecuali tingkatan tiga kerana pelajar tingkatan tiga sedang membuat persiapan menjelang peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) keesokan pertandingan ini.

“Jumlah pelajar termasuk pemain piano yang mewakili sekolah kami adalah seramai 25 orang yang terdiri dari tiga bangsa iaitu Melayu, India dan Cina,” katanya.

Ditanya mengenai latihan yang dijalankan sehingga berjaya meraih juara, Shamir berkata, mereka telah berlatih dari sebelum puasa, berhenti pada bulan puasa dan meneruskan latihan semasa raya bagi memantapkan kumpulannya.

Dalam pertandingan berkenaan, juara telah membawa pulang trofi pusingan, wang tunai seribu ringgit dan sijil penghargaan kepada setiap ahli kumpulan yang telah disampaikan oleh Urus Setia Pertandingan, Meor Azizan Meor Hadrun serta wakil Pegawai Khas Kokurikulum Jabatan Pelajaran Perak, Mohd Afandi Md. Taib.

Katanya, kejayaan itu diharap menjadi pendorong kepada kumpulan lain dan rakan-rakan lain agar mengeratkan hubungan sesama kaum tidak kira sama bangsa kerana dengan kerjasama dengan kaum lain akan membuahkan hasil lebih mantap dan teguh bersesuaian dengan konsep 1 Malaysia.

Sinar Harian: 13 Oktober 2009

Tiada ulasan: