Khamis, 22 Oktober 2009

Tiada aktiviti punca pelajar PMR ponteng

SEPERTI biasa, tiba saja hujung tahun, pelajar yang menduduki peperiksaan mengambil peluang untuk tidak ke sekolah lagi. Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sudah selesai sebelum perayaan Deepavali pertengahan Oktober lalu, menyaksikan hampir setengah juta calon mendudukinya.

Malangnya, ramai pelajar sudah tidak ke sekolah lagi kerana tiada ada sebarang aktiviti untuk mereka di sekolah. Mereka ini berpeleseran ke sana ke mari tanpa tujuan dan sering dilihat menghabiskan masa begitu saja.

Ada juga yang pergi ke sekolah kemudian pulang sesuka hati tidak mengira masa. Ada yang memakai pakaian sekolah tetapi tidak sampai ke sekolah. Sebaiknya, pelajar ini dimantapkan lagi dengan kegiatan kokurikulum yang membabitkan aktiviti persatuan seperti persatuan yang ada kaitan dengan subjek yang mereka pelajari di sekolah.

Contohnya, persatuan bahasa boleh mengadakan pertandingan berbahas, berbalas pantun, syarahan dan forum. Persatuan ini juga boleh membawa pelajar ke tempat berkaitan dengan pendidikan, bahasa dan penulisan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, syarikat penerbitan dan badan penyiaran.

Persatuan Sejarah boleh mengadakan lawatan ke tempat bersejarah, manakala kelab sukan di sekolah boleh mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan sekolah lain. Di samping itu, bagi aktiviti di dalam kelas, guru boleh mendedahkan kepada pelajar mengenai sukatan pelajaran Tingkatan Empat.

Oleh sebab pendekatan bagi kebanyakan subjek berbeza antara peringkat PMR dan SPM, maka adalah elok pelajar yang sedang menanti keputusan peperiksaan ini diberi pendedahan lebih awal mengenai apa yang bakal mereka pelajari di Tingkatan Empat nanti.

Contohnya, ada beberapa mata pelajaran yang menghendaki mereka menjawab dalam bentuk esei dan bukannya berbentuk objektif seperti di Tingkatan Tiga. Pendedahan lebih awal akan memberi pengetahuan lebih mendalam mengenai sukatan pelajaran mereka

nanti.

Pelbagai aktiviti boleh diketengahkan kepada pelajar untuk mengelak mereka ponteng sekolah. Masa lapang mereka boleh diisi dengan pelbagai perkara berfaedah sama ada yang berkaitan dengan pendidikan dan juga pembentukan sahsiah.

Kita tidak mahu pelajar ini terbabit dengan pelbagai kes salah laku seperti ponteng sekolah, melepak, vandalisme dan pergaduhan.

M JASNI MAJED,
Bukit Kapar, Selangor.

Berita Harian Online: 22 Oktober 2009

Tiada ulasan: