Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendedahkan perbandingan harga dilakukan Audit dengan pembekal lain di Kota Bharu bagi perkhidmatan sama mendapati kos dikenakan itu lebih tinggi iaitu 470 peratus hingga 880 peratus, berbanding harga pasaran.
Sebagai contoh, pokok Pinang Raja setinggi enam kaki dijual dengan harga RM750 sebatang, sedangkan harga sebenarnya hanya RM85, bunga raya berharga RM350 (harga pasaran RM50) dan RM350 untuk sebatang pokok Kemboja berbanding harga pasaran RM45.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, penemuan itu adalah sebahagian hasil pengauditan dijalankan pihaknya bermula Ogos hingga Disember lalu membabitkan 80 sekolah di Sabah, Kelantan, Melaka, Kedah dan Selangor.
Beliau berkata, sebahagian besar sekolah yang diaudit juga gagal diselenggara dengan baik, menyebabkan bangunan sekolah atau infrastrukturnya tidak kondusif digunakan.
Katanya, keadaan itu berlaku akibat kurang pemantauan dan penyeliaan perunding daripada kementerian.
“Selain itu, peraturan kewangan berhubung perolehan kerja tidak dipatuhi sepenuhnya seperti bayaran dibuat bagi kerja yang gagal disiap atau tidak dibuat langsung, baucer bayaran tidak disokong dokumen berkaitan dan kos perolehan tinggi berbanding harga pasaran,” katanya.
Ambrin berkata, kementerian melantik 47 perunding swasta untuk menyedia skop kerja dan memantau kerja penyelenggaraan atau pembaikan dilakukan kontraktor sehingga Tamat Tempoh Tanggungan Kecacatan.
Katanya, perunding juga bertanggungjawab memperakukan kerja sebelum pembayaran dibuat kepada kontraktor bagi kerja diuruskan kementerian, manakala kerja penyelenggaraan dan pembaikan diuruskan sendiri Jabatan Pendidikan Negeri, daerah dan sekolah diperakukan pegawai pembangunan negeri, daerah, pengetua atau guru besar.
“Bagaimanapun, kita dapati kerja pembaikan atau penyelenggaraan di 14 sekolah bernilai RM940,000 tidak disiapkan sepenuhnya atau tidak berkualiti, tetapi semakan Audit menunjukkan bayaran sepenuhnya sudah dibuat berdasarkan perakuan perunding yang mengesahkan semua kerja disiapkan dengan sempurna.
“Selain itu, di 15 sekolah di Sabah, Kelantan, Melaka, Kedah dan Selangor, kerja bernilai RM111,533 tidak dilaksanakan langsung tetapi kontraktor sudah menerima bayaran penuh selepas perunding membuat perakuan kerja sudah disiapkan,” katanya.
Ambrin berkata, kementerian perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memperakukan kerja yang belum disiapkan atau tidak berkualiti sebagai sudah disempurnakan kerana ia menyebabkan kerajaan terlebih membuat bayaran.
Beliau berkata, tindakan tatatertib perlu diambil jika perakuan dibuat pegawai awam, manakala syarikat perlu disenarai hitamkan jika kesalahan itu dilakukan perunding selain perlu dilapor kepada badan profesional yang mengawasinya.
Berita Harian Online: 21 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan