Khamis, 29 Oktober 2009

Penambahbaikan aktiviti kokurikulum akan diteliti

GENTING HIGHLANDS 28 Okt. – Kerajaan akan meneliti penambahbaikan terhadap prosedur menganjurkan aktiviti kokurikulum bagi mengelakkan tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang berulang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang merupakan Menteri Pelajaran berkata, aspek penambahbaikan itu akan diteliti selepas menerima laporan daripada pasukan khas menyiasat punca kejadian itu yang akan bermesyuarat dalam masa sehari dua lagi.

Katanya, pada masa ini aktiviti kokurikulum termasuk yang membabitkan aktiviti perkhemahan masih boleh diadakan namun pengurusan sekolah mesti mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

“Inilah yang pertama dalam sejarah kementerian, malang tidak berbau, jadi atas sebab itu apabila laporan berkenaan siap kita akan melihat apakah penambahbaikan (prosedur) yang perlu kita buat.

“Ada baik kita meneliti, sementara itu saya mengarahkan supaya program kokurikulum yang masih berjalan mengambil perhatian serius terhadap aspek keselamatan pelajar dan guru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan 2010-2012 di sini hari ini.

Dalam kejadian 10.30 malam Isnin lalu, tiga pelajar yang menyertai program perkhemahan di Pusat Kokurikulum Daerah Kampar didapati hilang selepas jambatan gantung yang mereka naiki untuk menyeberangi Sungai Kampar runtuh.

Seorang daripada mereka iaitu Dina Deve, 11, ditemui mati pagi semalam manakala dua lagi masih belum ditemui.

Seramai 19 murid lagi yang terlibat dalam kejadian itu bagaimanapun dapat diselamatkan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pihaknya sedar bahawa kejadian itu menyebabkan ibu bapa enggan memberi kebenaran untuk anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti kokurikulum kerana khuatir dengan aspek keselamatan.

Beliau menasihatkan ibu bapa bahawa sikap sedemikian akan merugikan anak-anak mereka kerana aktiviti kokurikulum adalah penting untuk membina sahsiah pelajar.

Sehubungan itu, katanya, bagi mengembalikan keyakinan ibu bapa, mereka boleh berkunjung ke tapak aktiviti kokurikulum untuk meninjau sendiri keadaan di situ.

“Ibu bapa boleh berperanan bersama-sama pihak sekolah, kalau mereka tahu ada aktiviti kokurikulum mereka boleh boleh berjumpa dengan guru dan guru besar untuk melihat tempat itu.

“Kita tak fikir untuk menutup kawasan itu kepada ibu bapa supaya mereka lebih yakin bahawa ia dilakukan dalam keadaan yang tersusun dan teratur,” jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 29 Oktober 2009

Tiada ulasan: