Selasa, 20 Oktober 2009

Guru didakwa miliki dadah

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: Seorang guru lelaki yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Pekan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua tuduhan mengguna dan memiliki dadah.

Tertuduh, Mohamad Adnan Ab Rahman, 38, didakwa melakukan kesalahan itu pada 16 Oktober lalu kira-kira jam 2 petang di sebuah rumah beralamat No 19, Lorong 8, Permatang Badak Baru di sini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didapati menggunakan Morphine iaitu jenis dadah berbahaya ditetapkan di bahagian III dari jadual pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2002) (Akta 234).

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut seksyen dan akta sama dibaca bersama mengikut Seksyen 38B akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan berada di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan minta dibicarakan.

Ketika mengemukakan rayuan supaya jaminan dikurangkan, tertuduh memaklumkan dia menyara tiga anak dan seorang isteri yang juga seorang guru.

Majistret Nordiana Abd Aziz memerintahkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 6 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Mohamad Zakaria.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berlainan, tertuduh yang berasal dari Tanjung Batu, Pekan turut mengaku tidak bersalah di depan Majistret Iriane Isabelo terhadap tuduhan memiliki dadah di tempat dan tarikh sama.

Bagi tuduhan itu, dia didapati memiliki satu bekas plastik lut sinar yang di dalamnya berisi satu ketulan berwarna keputihan mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.1 gram.

Tertuduh berdepan tuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta A234) (Pindaan 1998) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, guru berkenaan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Iriane memerintahkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 2 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Mohamad Azman Ariffin.

myMetro: 20 Oktober 2009

Tiada ulasan: