Sabtu, 17 Oktober 2009

Pendidikan Islam dimantapkan

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Kerajaan akan terus memantapkan pendidikan Islam dengan memperluaskan program Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) selain menjadikan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebahagian program sepanjang hayat.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk mencapai matlamat itu juga, kegiatan dakwah Islamiah akan ditingkatkan manakala tulisan jawi terus diperkasa di sekolah-sekolah.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan berpendirian pendidikan agama merupakan asas pembinaan akhlak, sahsiah dan jati diri anak-anak.

“Mesyuarat penyelarasan antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini bersetuju supaya program itu diperluaskan,’’ katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ia merupakan maklum balas beliau selaku Menteri Pelajaran terhadap beberapa isu yang dibangkitkan perwakilan pada perhimpunan itu termasuk semasa Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Tambah beliau, antara program dakwah yang dimantapkan di sekolah-sekolah ialah kursus dakwah kepimpinan pelajar, tadarus al-Quran dan program solat bestari.

Katanya, setelah j-QAF diperkenalkan pada 2005, kelas pemulihan jawi telah diwujudkan bagi memulihkan murid-murid Islam yang tidak menguasai tulisan tersebut.

“Mulai 2005 hingga kini, tulisan jawi juga telah disisipkan dalam akhbar Utusan Melayu melalui usaha sama Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada perwakilan yang mencadangkan agar mata pelajaran jawi diperkasakan.

Katanya, tulisan jawi memang satu elemen dalam mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah rendah.

“Waktu pembelajaran jawi adalah dua waktu bagi tahun satu dan satu waktu bagi tahun dua hingga enam manakala di sekolah menengah, tulisan jawi diterap oleh guru-guru ketika melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 Oktober 2009

Tiada ulasan: