Rabu, 28 Oktober 2009

Kena tampar lewat 10 minit

Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my


KAVITAH menunjukkan kesan bengkak di telinga kanan anaknya selepas dipukul guru disiplin.

Murid Tahun Tiga dakwa pendengaran telinga kanan terjejas

SUBANG JAYA: Hanya 10 minit lewat tiba ke sekolah, seorang murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 2, di sini bukan saja mengalami trauma, malah pendengaran telinga kanannya turut terjejas selepas ditampar guru disiplinnya kelmarin.

Ibunya, Kavitah Vathamalai, mendakwa tindakan melampau guru itu hanya diketahuinya selepas anak perempuannya yang berusia sembilan tahun mengadu telinga kanannya sakit hingga mengalami kesukaran untuk tidur, selain demam.

“Bila diperiksa, telinga kanannya didapati bengkak. Bagi mengelak keadaan lebih teruk, saya terus membawanya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Pada mulanya, dia cuba merahsiakan apa yang berlaku.

“Bagaimanapun, selepas didesak berulang kali, dia akhirnya mengaku ditampar guru disiplin pada sesi perhimpunan kerana lewat hadir ke sekolah,” katanya kepada pemberita semalam sambil memberitahu anaknya disahkan mengalami kecederaan dalaman di telinga kanannya.

Beliau menganggap tindakan guru terbabit sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi selepas anaknya menjelaskan sebab kelewatannya tiba di sekolah.

“Lagipun, anak saya seorang perempuan. Saya pun tidak tahu apa yang difikirkan oleh guru terbabit ketika mengambil tindakan itu. Sedangkan, kesalahan dilakukannya cuma tiba lewat 10 minit ke sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu sudah ke sekolah anaknya untuk mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila tidak dilayan oleh guru besarnya, selain dihalang bertemu guru disiplin terbabit.

“Sebagai ibu, saya mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu. Bagaimanapun, guru besar terbabit tidak memberi kerjasama sepatutnya, malah tidak mahu mengalah langsung dan mempertahankan tindakan guru disiplinnya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau membuat laporan berhubung kejadian berkenaan di Balai Polis Bukit Puchong kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Insiden ini akan turut dimaklumkan kepada Kementerian Pelajaran. Semua tindakan ini saya buat untuk memastikan anak saya mendapat keadilan, selain sebagai peringatan kepada guru terbabit supaya tidak sewenang-wenangnya memukul pelajar mereka,” katanya.

“Bayangkan, hanya disebabkan kejadian ini, anak saya sekarang trauma dan enggan ke sekolah. Ini boleh menjejaskan pelajarannya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Berita Harian Online: 28 Oktober 2009

3 ulasan:

su berkata...

Alahai.....kesian budak tuh...haku pun guru disiplin jugak tp xla tergamak nak tampar sampai pekak telinga...

setakat ni kalau murid dtg lewat, haku gune budi bicara jer...janji dia datang skolah & x ketinggalan keseluruhan pembelajaran...

buruk lagi nama guru disiplin....

ermmm...agak2 la cket kalau nak melaksanakan disiplin tuh....

Tanpa Nama berkata...

cikgu ni memang dah selalu menampor budak kat sekolah tu...cuma baru nilah dia kantoi...

sapa bagi dia kuasa melempang budak pun tak tau..

Tanpa Nama berkata...

saya sebenarnya kesian jgk kat budak tu.lambat dtg 10minit je dh kena penampar.kesian2222...tp lps ni mintak la mak ayah semua hantar memo kt kementerian supaya cikgu ajar mata pelajaran yg berkenaan saja.pasal pendidikan murid2 tu abaikan.xplu nk didik2,janji murid dtg sekolah sudah... bak kata su laa...

kalo ada pape masalah budak2 bergaduh dalam kelas,bising,mencuri,pukul murid lain,dtg lmbt n mcm2 lg.semua tu cikgu tak perlu amik tau.cikgu hanya ajar ikut silibuss je.

kadang2 cikgu ni rajin laa plak nk didik anak org.padahal murid tu kat rumahnya mak ayah ntah didik nntah tidak.pergi sekolah mcm2 hal dia buat.mak ayah plak anggap anaknya semua btl(anak baik laa kat umah)tp kt sekolah ada mak ayah amik tau semua tu?? mintak
pihak kementerian pasang CCTV kat sekolah terutama kelas yg bermasalah pantau murid2,cikgu2 ng mak ayah sekali pastikan CCTV tu pihak tertentu je tau.baru blh tau sapo yg btl.

ntah laa sembang lebih x guna jgk.
budak kg ke budak bandar ke sama je sekarang nie.


dunia akhir zaman...

tggu masa je.