Sabtu, 24 Oktober 2009

PPD Kota Bharu anjur Program Kem 1Malaysia

TUMPAT 23 Okt. - Kementerian Pelajaran memperuntukkan lebih RM100,000 kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu bagi melaksanakan Program Kem 1Malaysia Peringkat Daerah Kota Bharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Beluru di sini, kelmarin.

Pegawai Pelajaran Daerah Kota Bharu, Che Aziz Daud berkata, peruntukan itu digunakan untuk pembiayaan program perkhemahan itu bagi 307 murid pelbagai kaum dari 96 buah sekolah rendah di jajahan tersebut.

Katanya, mereka yang terlibat menyertai pelbagai aktiviti termasuk berkhemah, gotong-royong, sukaneka dan persembahan kebudayaan selama empat hari berada di sekolah itu.

''Sebelum itu, murid terlibat memperoleh pengalaman menaiki bot menyeberangi Sungai Kelantan untuk sampai ke sekolah berkenaan," katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Penutup Program Kem 1Malaysia Peringkat Daerah Kota Bharu di sini yang turut dihadiri Ketua Unit, Pusat Kokurikulum Kelantan, Suhaimi Ab. Ghani.

Menurut Che Aziz, pada program itu, murid terlibat gembira menyertai program yang mendedahkan mereka kepada pelbagai pengalaman berkesan.

''Penglibatan mereka dalam semua program itu juga bertujuan menerapkan semangat perpaduan, patriotik dan kerjasama," ujarnya.

Penyertaan mereka dalam program itu juga katanya, meningkatkan tahap toleransi serta tabah menghadapi cabaran.

Tambahnya, pada usia sedemikian, mereka mula memahami untuk menghayati serta mengamalkan nilai murni kemasyarakatan dan program itu menjadi wadah latihan yang berkesan.

Utusan Malaysia Online: 24 Oktober 2009

Tiada ulasan: