Selasa, 20 Oktober 2009

SJKC, SJKT boleh ajar subjek bukan teras dalam BM

SUBJEK Bahasa Malaysia yang diajar di sekolah jenis kebangsaan (SJK) tak lebih sekadar alat untuk lulus dalam peperiksaan dan boleh dianggap gagal dalam mencapai matlamat melahirkan individu masyarakat Malaysia yang menguasai Bahasa Kebangsaan.

Beberapa guru yang pernah mengajar subjek itu di SJK bersetuju bahawa tempoh pengajaran singkat yang diperuntukkan bagi subjek Bahasa Malaysia menunjukkan ia sekadar memenuhi tuntutan memperoleh sijil dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), malah mungkin langsung tidak memberi sebarang kesan kerana meskipun gagal, murid masih boleh meneruskan pelajaran ke peringkat menengah.

Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Onn Jaafar, Subang, Mohamed Alimi Mohamed Aris, yang pernah mengajar di SJK (C) Chen Moh, Petaling Jaya, berkata pembelajaran Bahasa Malaysia di SJK lebih menumpukan kepada lulus dalam peperiksaan dengan guru berpandu kepada kaedah strategi serta teknik menjawab soalan peperiksaan.

Dia berkata, tempoh pengajaran subjek itu antara 180 hingga 270 minit seminggu tidak cukup untuk menerapkan penguasaan Bahasa Kebangsaan kerana kebanyakan masa itu hanya digunakan bagi mempelajari secara terus apa yang terkandung dalam buku teks semata-mata.

“Bayangkan, dalam enam jam waktu persekolahan sehari, murid di SJK hanya mempunyai masa selama tiga jam seminggu untuk berkomunikasi dalam Bahasa Melayu, itupun terpaksa ‘dirojak’ dalam pelbagai bahasa lain seperti bahasa ibunda mereka atau Bahasa Inggeris untuk membolehkan murid memahami arahan yang diberi.

“Malah, jika diperhatikan, ramai juga guru berbangsa Cina yang mengajar subjek Bahasa Malaysia menggunakan bahasa Cina untuk memberi arahan dan hanya bertutur dalam Bahasa Malaysia apabila mereka membaca isi dalam buku teks.

“Namun, apa yang mampu dibuat kerana mentaliti masyarakat Cina dan India yang belajar di SJK tidak lebih daripada sekadar mahu lulus peperiksaan menjadikan bahasa itu sekadar subjek, bukan alat untuk berkomunikasi,” katanya.

Dia mencadangkan supaya Bahasa Melayu turut digunakan dalam subjek lain yang bukan teras seperti Kemahiran Hidup, Kajian Tempatan dan Pendidikan Seni atau sekurang-kurangnya digabung jalin dalam pengajaran supaya murid lebih banyak terdedah kepada penggunaan bahasa itu secara optimum.

Seorang lagi guru yang pernah mengajar subjek Bahasa Malaysia di SJK (C) Bagan Pasir, Tanjung Karang, Kamarul Azizi Muhamed, berkata senario lebih menyedihkan apabila guru Melayu terpaksa pula menguasai bahasa Cina untuk mengajar Bahasa Malaysia di SJK kerana perlu menterjemahkan arahan dalam bahasa ibunda masyarakat itu.

Katanya, ia menyebabkan kemampuan komunikasi di kalangan murid Cina dan India jadi tunggang langgang kerana tidak didedahkan dengan kaedah berbahasa yang betul, apatah lagi dengan tempoh pengajaran yang terlalu singkat.

“Apa yang saya perhatikan, hanya murid Cina yang ada orang gaji dari Indonesia di rumah mereka mahir berbahasa Melayu dengan agak baik kerana terdedah dengan bahasa Indonesia yang lebih kurang dengan kita. Namun, berapa kerat sangat yang macam itu kerana kebanyakan masyarakat Cina lebih gemar mengambil pembantu rumah dari Filipina.

“Bukankah sewajarnya semua orang di negara ini menguasai Bahasa Kebangsaan kerana ia bahasa rasmi tetapi nampaknya langkah kita tak ke arah itu. Lebih mengecewakan, seseorang akan dianggap kolot jika tak kuasai bahasa Inggeris sedangkan Bahasa Melayu diabaikan.

“Bagaimana kita mahu memperkukuhkan perpaduan jika tak semua orang kuasai Bahasa Melayu. Banyak dasar yang dilaksanakan kementerian tapi selalunya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Banyak contoh membuktikannya seperti konsep sekolah wawasan yang masih belum dilihat keberkesanannya,” katanya kecewa.

Bekas guru Bahasa Malaysia di SJK (C) Hun Bin, Tanjung Tokong, Pulau Pinang, yang enggan namanya disiarkan berkata, Bahasa Melayu diyakini akan semakin diperkukuhkan di SJK jika ia menjadi bahasa utama dalam subjek bukan teras.

“Orang Cina dan India bukan tak tahu langsung berbahasa Malaysia. Mereka ada asas, cuma kurang peluang berkomunikasi dalam bahasa itu di SJK. Jadi, jika ia digunakan dalam subjek bukan teras, mereka akan lebih banyak latihan penggunaan bahasa itu dan pasti akan memperkukuhkan penguasaannya.

“Selama ini, Bahasa Malaysia memang sekadar subjek untuk peperiksaan kerana sistem dan pendekatan pendidikan di negara ini memang berorientasi peperiksaan. Ia sukar diubah tetapi tak mustahil untuk diperbaiki,” katanya.

Berita Harian Online: 20 Oktober 2009

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Harap cikgu2 d Chen moh terutama cikgu yang mengajar mematik..bila murid2 tak dapat menjawap soalan jangan terus mengena kan tindakan merotan tau menarik telinga murid2..Cara begitu bukan mengalak kan murid mengkin panda I malahan takut pergi sekolah..arap cikgu2 memahami Dan berkerja sama salam mebentuk anak murid2..terutama tahun 5..

Tanpa Nama berkata...

Yala memang betul murid2 Sekarang bukan nya terus bole memahami mematik klau bahasa yang d guna kan dalam bahasa cina..kerana sekola cina ni Ada d antra nya murid2 bangsa melayu Dan India..arap cikgu berkerja sama dalam perkara ni..kerana kita satu Malaysia tak Kira bangsa Dan agama..