Khamis, 22 Oktober 2009

MBMMBI mampu bela pelajar tercicir

Oleh Zanariah Abd Mutalib
bhnews@bharian.com.my

Pelaksanaan dasar baru wajar disegerakan

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk mengkaji mempercepatkan pelaksanaan dasar baru memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012 mampu membela nasib pelajar sekolah rendah yang sebelum ini keciciran berikutan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.

Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berkata pelaksanaan dasar baru yang menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu tidak boleh dilengahkan lebih lama kerana sejak PPSMI diperkenalkan enam tahun lalu, ia memberi kesan negatif kepada pelajar sekolah rendah terutama di luar bandar.

"PPSMI akan mengakibatkan prestasi bagi dua subjek itu merosot jika ia diteruskan. Murid yang gagal sebelum ini terutama di luar bandar bukan disebabkan mereka tidak pandai tetapi kerana mereka tidak faham (pengajaran dalam bahasa Inggeris) dan ibu bapa juga tidak boleh membantu kerana mereka juga tidak tahu," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Semalam, akhbar melaporkan keputusan kerajaan mengkaji mempercepatkan pelaksanaan MBMMBI bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata, pelaksanaan lebih awal itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang perlu disiapkan akhir tahun depan.

Zainal berkata, pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak memberi banyak masalah kerana ia pernah dilaksanakan sebelum PPSMI diperkenalkan.

"Buku yang lama itu kita boleh cetak semula dan sukatan pelajaran pun tidak perlu banyak diubah. Bagi pengajaran Bahasa Inggeris pula, kita memang memerlukan guru yang benar-benar mahir dan menambah alat bantuan mengajar," katanya.

Sementara itu, Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata keputusan kerajaan itu selaras dengan kehendak pertubuhan itu yang mahu pelaksanaan dasar itu dipercepatkan.

"Selepas ini, kita juga ingin menggesa kerajaan supaya dasar itu dilanjutkan pula di peringkat institusi pengajian tinggi selain tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan bahasa Inggeris. Selain itu, ucapan pemimpin negara dan papan tanda juga perlu menggunakan bahasa Melayu," katanya.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad turut menyokong dasar baru itu berharap bahasa Melayu akan dijadikan teras utama dalam pembinaan gagasan 1Malaysia.

Berita Harian Online: 22 Oktober 2009

Tiada ulasan: