Rabu, 28 Oktober 2009

Sayangi Sekolah: Menepati piawaian

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
upen@bharian.com.my


PENGAWAS turut menjadi penggerak kecemerlangan sekolah.

SK Sungai Tengi ganda usaha tingkat kejayaan

MENCAPAI piawaian penilaian Standard Kualiti Pendidikan Malaysia sejak tiga tahun lalu antara faktor melonjakkan kecemerlangan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tengi, Hulu Selangor di peringkat kebangsaan.

Baru-baru ini, sekolah ditubuhkan pada 1973 yang kini mempunyai 406 murid dengan 40 guru dan sembilan kakitangan sokongan itu menerima anugerah Sekolah Cemerlang Kementerian Pelajaran kategori Felda 2009.

Guru Besarnya, Hasnah Din, berkata tumpuan terhadap kemajuan akademik murid sekolah itu di kalangan anak kampung signifikan dengan pelbagai ukuran penilaian dilaksanakan.

"Pencapaian lulus mencecah 100 peratus dalam beberapa mata pelajaran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah sejak beberapa tahun lalu memberi semangat kepada warga sekolah ini untuk terus berusaha.

"Malah dalam UPSR tahun lalu, sekolah ini mencapai kelulusan membanggakan, iaitu 92.3 peratus berbanding hanya 78.3 peratus tahun sebelumnya," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Hasnah Din

Beliau berkata, warga kerja sekolah itu sentiasa memegang dan menjalankan tugas berpaksikan prinsip '5P' iaitu perancangan, pelaksanaan, pemantauan, penilaian dan penambahbaikan.

Sambil menjelaskan semua bidang terus diperkasakan secara menyeluruh dan efektif, katanya, dengan bantuan dan sumbangan pihak Felda pelbagai aktiviti pembelajaran murid sekolah itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Selain kerja keras guru berusaha mendidik murid dengan cemerlang, beliau menjelaskan, sekolah itu juga mendapat kerjasama padu daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

"Mereka sedia turun padang membantu menjayakan aktiviti yang dijalankan pihak sekolah, manakala guru pula mempunyai perancangan rapi dan berkesan dalam membantu kejayaan murid.

"Pengenalan program motivasi pendek dikenali 'Pep Talk', pengurusan sistem fail yang cekap, penyampaian guru mudah dan mesra sesama rakan sejawat antara budaya diamalkan di sekolah ini," katanya.

Sekolah dipagari dan dilatari flora pelbagai spesies yang hidup subur serta segar mampu mengalirkan aura di kalangan murid dan guru agar sentiasa berfikiran terbuka menangani segala bentuk cabaran.

Kesempurnaan pentadbiran sekolah itu menjadikannya terus gagah meniti persada kecemerlangan dalam pelbagai aspek sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Dalam bidang kokurikulum, Hasnah berkata, sekolah itu meraih pelbagai kejayaan sama ada peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

"Dengan kekuatan guru yang gigih dan bersemangat waja, saya berazam mempertahankan kecemerlangan diraih ini.

"Malah pelbagai kejayaan selama ini menyuntik semangat warga sekolah supaya bekerja lebih kuat bagi mencapai kecemerlangan berganda pada masa depan," katanya.

INFO: Pencapaian SK Sungai Tengi

  • Johan Pertandingan Kompang Selawat Daerah Hulu Selangor 2009

  • Johan kategori perempuan Tilawah dan Hafazan Pendidikan Khas Daerah Hulu Selangor 2009

  • Johan Pertandingan Keceriaan Kantin Daerah Hulu Selangor 2008

  • Johan Guru Inovatif Daerah Hulu Selangor 2008

  • Johan Peringkat Zon Karnival Prasekolah 2008

  • Johan Karnival Pra Sekolah Peringkat Daerah Hulu Selangor 2008

  • Johan Hari Potensi Prasekolah Daerah Hulu Selangor 2008

  • Johan Karnival Tunas Mini Olimpik Daerah Hulu Selangor 2008

  • Tokoh Nilam Kebangsaan 2006/ 2007.

  • Berita Harian Online: 28 Oktober 2009

    Tiada ulasan: