KUALA LIPIS 16 Okt. - Semua maktab perguruan disaran menyediakan sukatan pelajaran dan pedagogi pendidikan khusus untuk masyarakat Orang Asli dan pribumi agar mereka mampu menjadi pendidik yang berkualiti.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, cadangan tersebut bukan sahaja untuk masyarakat Orang Asli dan pribumi di negara ini tetapi menjadi rujukan bagi melatih Orang Asli dan pribumi dari luar negara.
Katanya, Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan Lipis adalah antara maktab perguruan pertama negara yang mempunyai Pusat Kecemerlangan Pedagogi dan memiliki kepakaran mengenai kajian tentang budaya dan cara hidup masyarakat Orang Asli.
''Kementerian Pelajaran akan terus meningkatkan tahap celik huruf di kalangan masyarakat Orang Asli dan pribumi bagi memudahkan mereka meneroka pelbagai ilmu menerusi pembacaan.
''Kementerian akan membuka lebih banyak Kelas Dewasa Pribumi (Kedap) di kawasan luar bandar dan perkampungan Orang Asli serta pribumi bagi membolehkan lebih ramai penduduk di situ celik huruf,'' kata Mohd. Puad.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Kecemerlangan Pedagogi Pribumi Peringkat Kebangsaan dan Konvokesyen Kedap di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Puad, sehingga kini sebanyak 108 buah kelas Kedap dibuka di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan bilangan penuntut lebih 2,000 pelajar terdiri daripada ibu bapa dan mereka yang buta huruf.
Tambahnya, penubuhan Kedap bukan sahaja membolehkan golongan dewasa membaca, menulis serta mengira malah dapat menjamin masa depan mereka terutamanya di kalangan masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil.
Menurut beliau, dengan adanya pengetahuan serta ilmu melalui pembacaan, golongan buta huruf akan dapat mengubah nasib mereka sekali gus dapat meningkatkan modal insan di kalangan masyarakat pribumi itu sendiri.
Katanya, bagi menggalakkan lebih ramai ibu bapa menyertai Kedap, kerajaan menyediakan elaun harian RM19 sehari selain memberikan pakaian percuma kepada mereka yang mengikuti kelas tersebut.
''Penyertaan ibu bapa dan kalangan buta huruf itu secara tidak langsung akan menggalakkan anak-anak mereka bersaing dalam pelajaran dan sekali gus menjadikan Orang Asli berdaya saing dengan masyarakat lain,'' katanya.
Utusan Malaysia Online: 17 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan