Rabu, 14 Oktober 2009

Sayangi Sekolah: Kecemerlangan terserlah

Oleh Azhan Ahmad Nor
upen@bharian.com.my


SEKOLAH Kebangsaan Putra raih pelbagai anugerah dan kejayaan.

Sekolah Kebangsaan Putra bina galeri abadikan kejayaan akademik, kurikulum

KECEMERLANGAN Sekolah Kebangsaan Putra (SKP), Kangar, Perlis diakui apabila meraih pelbagai kejayaan dan anugerah, termasuk yang terbaru Anugerah Sekolah Cemerlang Kementerian Pelajaran.

Pengiktirafan cemerlang bagi kategori sekolah bandar itu menyemarakkan lagi semangat dan usaha warga sekolah yang ditubuhkan sejak lebih lima dekad itu.

Guru Besarnya, Ghazali Kassim, berkata pemilihan sekolahnya sebagai penerima anugerah itu disifatkan sebagai manifestasi penghargaan kejayaan guru dan muridnya dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Malah katanya, ia juga membuktikan keupayaan SKP mencapai visi muncul sebagai sekolah cemerlang lebih awal daripada tempoh ditetapkan 2013.

Beliau berkata, kerjasama dan komitmen tinggi semua pihak menjadi pemangkin kejayaan sekolah itu selari dengan misi memberi pendidikan berkualiti menerusi usaha gigih bersama dalam memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.

SKP sasar 22 daripada 77 calon dapat 5A dalam UPSR tahun ini.

“Kecemerlangan SKP bermula apabila dipilih sebagai Sekolah Harapan Negara pada 2001, disusuli pelbagai pengiktirafan lain bukan saja dalam bidang akademik, malah kokurikulum.

“Antaranya Sekolah Cemerlang Sukan, Pra Sekolah Cemerlang, Anugerah Perdana, Guru Skim Pinjaman Buku Teks Cemerlang, Bilik BOSS Cemerlang, Anugerah Pusat Sumber Cemerlang,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, kecemerlangan kokurikulum murid sekolah itu menyerlah khususnya di peringkat negeri apabila muncul Johan Kejohanan Sepak Takraw, bola tampar, futsal, bola sepak, hoki bawah 12 tahun, nasyid, story telling dan tarian prasekolah.

Ghazali berkata, semua kejayaan itu akan diabadikan dalam galeri sekolah iaitu Galeri Persada Putra yang kini masih dalam proses pembinaan.


“Pelbagai kejayaan ini meletakkan SKP dalam kelompok sekolah disegani di peringkat negeri sama ada dalam bidang akademik, kokurikulum mahupun pembangunan insan.

“Contohnya, dalam bidang akademik, usaha pemantapan dilaksanakan sejak awal tahun lagi membolehkan murid meningkatkan pencapaian dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) setiap tahun.

“Tahun ini, kita menyasarkan 22 daripada 77 calon memperoleh 5A dalam UPSR,” katanya.

Beliau berkata, penekanan terhadap pencapaian akademik dan kokurikulum diberi perhatian bagi memastikan kecemerlangan sekolah seimbang dan berterusan.

Mengimbau sejarah penubuhannya, sekolah itu pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Inggeris Derma pada 1957 yang kemudian ditukar kepada Sekolah Inggeris Putra tahun berikutnya.

Pada 1973, sekolah itu dikenali sebagai Sekolah Rendah Putra mengambil sempena nama Raja Perlis kelima, Tuanku Syed Putra Jamalullail hingga kini SKP dengan kapasiti 475 murid dan 44 guru.

Bagi mengekalkan kecemerlangan sekolah itu, Ghazali menuntut sokongan dan kerjasama penuh semua pihak khususnya murid, guru serta Persatuan Ibu Bapa dan guru.

Berita Harian Online: 14 Oktober 2009

3 ulasan:

Syamim Hashim berkata...

saya bekas pelajar SRK Putra 1997 - 2002 :)

Muhammad Fazli Bin Norzalli berkata...

Saya dengan bangganya ingin memberitahu disini bahawa saya adalah pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Putra, Kangar, Perlis dari tahun 2000 hingga 2002! SRK PUTRA always the best! =D

miramir the koala bear berkata...

saya sebagai bekas pelajar SRK Putra 1997-2002 ingin mengucapkan tahniah kepada guru-guru serta murid-murid. teruskan kecemerlangan kita ;)