Oleh D J Dolasoh
am@hmero.com.my
LENGGONG: “Kami hairan kerana pagi tadi (semalam), arwah tiba-tiba mengambil Mohammad Aimanul Fail Azlan berusia sembilan bulan daripada dukungan ibunya ( Wan Haslina Meor Muhamud, 31) dan bermesra dengan cucunya itu lebih setengah jam sedangkan tidak pernah berbuat demikian sebelum ini.
“Saya hairan kenapa arwah tidak mahu bercakap sejak pagi tadi biarpun kami cuba berbual. Saya langsung tidak menduga ia petanda arwah akan meninggalkan kami selama-lamanya,” kata Nurul Hairani Ramli, 65.
Meor Muhamud Meor Ghazali, 71, meninggal dunia selepas rentung dalam van Perodua Rusa dipandunya akibat dirempuh sebuah Mercedes Benz di Kilometer 15, Jalan Lenggong – Kuala Kangsar berhampiran Jambatan Raja Muda Nazrin Shah, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang juga pesara Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah di sini, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Nurul Hairani berkata, kebiasaannya arwah keluar rumah di Kampung Bahagia, Sungai Siput ke kebun getahnya di Kampung Durian Pipit, dekat sini, pada waktu pagi kerana jaraknya lebih 60 kilometer.
“Dia berulang alik setiap hari ke kebun seluas satu hektar di kampung itu sejak setahun lalu berikutan tanam semula getah dan melihat lembu peliharaan dan jarang mengajak saya menemaninya.
“Hari ini (semalam) dia bertolak lewat, selepas solat Zuhur dan tidak memberitahu saya sebagaimana biasa,” katanya ketika ditemui di rumah adik mangsa di Tampan Air di sini.
Mercedes Benz dinaiki tiga beranak yang merempuh kereta mangsa turut terbakar tetapi semua mangsa berjaya diselamatkan orang ramai yang melihat kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Zainuddin Mohd Nordin berkata, mangsa dipercayai terperangkap dalam kenderaannya dan mati di tempat kejadian kerana gagal diselamatkan berikutan api terlalu marak.
myMetro: 23 Oktober 2009
Jumaat, 23 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan