KUANTAN - Penganjuran pertandingan drama Bahasa Inggeris peringkat sekolah menengah daerah Kuantan anjuran BASF Petronas berjaya menyerlahkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar melalui konsep 1Malaysia.
Pegawai Pelajaran Daerah, Narimah Abdul Malik berkata, usaha syarikat korporat berkenaan mendekati golongan pelajar melalui aktiviti menarik itu mampu menyerlahkan bakat mereka selain memupuk perpaduan berdasarkan tema yang dipilih.
Menurutnya, selain menonjolkan kreativiti dalam kalangan pelajar yang mengambil bahagian, pertandingan berkenaan semestinya berjaya memperlihatkan kemampuan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik.
“Saya kagum melihat bakat pelajar sewaktu di pentas dan keyakinan yang ditonjolkan itu seharusnya diteruskan pada masa akan datang terutama membabitkan persaingan yang lebih hebat.
“Saya percaya, melalui pertandingan ini, pelajar akan lebih menyedari kepentingan semangat kerjasama, nilai perpaduan dan belajar untuk saling hormat-menghormati antara satu lain,” katanya pada majlis Penutup Pertandingan Drama Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Daerah Kuantan di Auditorium Darul Makmur, di sini.
Beliau berkata, aspek pengukuhan dari segi komunikasi boleh dilaksanakan secara lebih efektif kerana perkongsian pintar yang terjalin selama empat tahun dengan BASF Petronas menyediakan banyak peluang di samping menjadi platform kepada pelajar untuk membabitkan diri secara aktif dalam program yang diadakan.
“Saya berharap kerjasama baik yang sedia terjalin ini akan diteruskan pada masa datang bagi menjayakan misi pendidikan yang mahu melahirkan pelajar yang sedia bersaing di samping dapat menonjolkan kemampuan diri pada tahap yang maksimum.
“Saya yakin, pelajar sudah melakukan yang terbaik dalam pertandingan ini dan cuba melakonkan watak masing-masing dengan baik berdasarkan skrip yang mantap dan kreatif,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Sumber Manusia BASF Petronas, Halid Ab Hamid berkata, pertandingan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial terhadap komuniti melalui program kerjasama pendidikan dengan Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan.
“Selain mahu meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris, pertandingan ini juga boleh menjadi landasan untuk pelajar menunjukkan bakat dalam bidang lakonan pentas.
“Tema 1Malaysia yang diketengahkan diharap mampu dihayati oleh pelajar memandangkan pembabitan pelajar berbilang kaum yang menjayakan pertandingan ini,” katanya.
Pertandingan yang disertai 10 sekolah itu menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas muncul johan pertandingan, tempat kedua dimenangi pasukan daripada SMK Sultan Abu Bakar manakala tempat ketiga SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah.
Antara sekolah yang mengambil bahagian adalah SMK Tengku Ampuan Afzan, SMK Teluk Cempedak, SMK Air Putih, SMK Tanah Putih, Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan SMK (P) Methodist.
Sinar Harian: 13 Oktober 2009
Selasa, 13 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan