Rabu, 21 Oktober 2009

Sayangi Sekolah: Resipi kejayaan

Oleh Rosdalilah Zahari


Abd Aziz Yahya

SK Lintang amal tiga prinsip tingkat pencapaian murid

BERPEGANG tiga prinsip, iaitu tanggungjawab, sumbangan dan pengorbanan menjadi resipi kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang, Sungai Siput, Perak meraih Anugerah Sekolah Cemerlang Kementerian Pelajaran kategori Sekolah Kurang Murid, baru-baru ini.

Tanggungjawab bererti apa yang diamanahkan kepada guru dilaksanakan sebaiknya, manakala sumbangan dan pengorbanan pula adalah masa diluangkan guru dan murid bagi mencapai sasaran ditetapkan.


Terletak kira-kira 60 kilometer dari Ipoh dan berhampiran Felda Lasah, SK Lintang bukan saja meraih anugerah berprestij itu malah pelbagai pengiktirafan lain.

Antaranya Anugerah Sekolah Harapan (2001), Anugerah Gempur 100 (Kualiti) (2003), Anugerah Peningkatan Berterusan Gempur 100 (2005), Anugerah Gempur 100 (Kualiti) dan Anugerah Peningkatan Berterusan Gempur 100 (2006).

Surat Penghargaan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar (2007) dan Sijil Penghargaan Pejabat Pelajaran daerah Kuala Kangsar (2008).

MURID Tahun Satu mengikuti pembelajaran dalam suasana ceria dan selesa.

Sekolah yang wujud sebelum Perang Dunia Kedua dengan nama Sekolah Melayu Lintang itu hanya mempunyai 89 murid Tahun Satu hingga Enam dengan satu sesi persekolahan.

Walaupun jumlah muridnya kecil, sekolah itu mempunyai prasarana lengkap seperti makmal komputer, pusat sumber dan kelas pemulihan bagi murid lembam.

Bagi meningkatkan prestasi murid, setiap hari pelbagai aktiviti dijalankan, antaranya membaca sifir dalam bahasa Inggeris dan melafazkan ikrar 'Aku Janji'.

Guru Besarnya, Abd Aziz Yahya, berkata pencapaian akademik sekolah itu khususnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) amat memberangsangkan.

Bermula 2003 hingga tahun lalu, katanya, kelulusan UPSR sekolah itu meningkat daripada 73 peratus hingga 100 peratus.

“Kejayaan ini hasil usaha gigih guru yang tidak pernah putus asa membimbing murid,” katanya.

Beliau menjelaskan, pelbagai program diatur sejak awal tahun khususnya bagi murid Tahun Enam yang akan menduduki peperiksaan UPSR, antaranya kelas tambahan, latih tubi pengukuhan dan ujian kemahiran.

Katanya, program motivasi dianjurkan pihak sekolah, badan bukan kerajaan dan swasta juga membantu murid sekolah itu mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental sebelum menduduki peperiksaan.

“Kita juga turut menerapkan nilai moral dan keagamaan bagi memperkukuhkan lagi usaha dilakukan murid supaya mereka berjaya mencapai keputusan cemerlang,” katanya.

Abd Aziz berkata, murid sekolah berkenaan sentiasa berpegang aku janji dipanggil Deklarasi Lintang yang diikrarkan mereka bagi mengadaptasi segala pengajaran disampaikan guru.

Selain itu, katanya, mereka turut diajar cara berdikari, berdisiplin dan gigih menimba ilmu bukan saja bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran, malah sebagai persediaan menghadapi kehidupan masa depan.

“Komuniti sekolah ini yang kecil membuatkan murid, guru dan kakitangan sangat rapat, ceria dan bersemangat tanpa mengira masa,” katanya.

Berita Harian Online: 21 Oktober 2009

Tiada ulasan: