Isnin, 26 Oktober 2009

Akhbar sesuai sebagai bahan bantu mengajar

Oleh Zabidi Hitam
bidi@bharian.com.my

RAMAI guru sependapat bahawa penggunaan akhbar sesuai sebagai bahan bantu alternatif berkesan dalam usaha memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran, selain mampu menarik minat pelajar.

Selain mengandungi pelbagai jenis bahan antaranya berita, rencana dan gambar yang boleh dimanipulasikan untuk pengajaran, mereka juga menyifatkan pendekatan itu sebagai satu cara mendedahkan pelajar maklumat terkini.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Jalan Ipoh, Alia Fatma Bostanoordin, berkata penggunaan akhbar turut memupuk minat pelajar membaca selain menggalakkan mereka berinteraksi dengan rakan lain.

Beliau yang baru setahun berkhidmat berkata, pendekatan itu juga boleh membantu pelajar meningkatkan penguasaan khususnya bagi subjek Bahasa Melayu.

“Pendekatan ini juga sesuai dilaksanakan dalam usaha mempelbagaikan kaedah, di samping mewujudkan suasana belajar berbeza,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Bengkel Akhbar Dalam Pendidikan anjuran Berita harian di Dewan Seminar Anjung Riong, Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bengkel dua hari dirasmikan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mahfar Ali itu dihadiri kira-kira 120 guru dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

Hadir sama Pengarang Pendidikan Berita Harian, Zainor Said yang turut menyampaikan taklimat mengenai operasi penerbitan akhbar, manakala bengkel dibimbing Pengarang Berita Pendidikan, Tamrin Anuar.

Guru SMK Sri Pantai, Nor Azhar Muhammad, menyifatkannya bertuah terpilih menyertai bengkel itu kerana didedahkan pelbagai maklumat baru bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran di bilik darjah.

“Kalau dulu saya menganggap akhbar hanya sebagai sumber maklumat, kini saya tahu ia boleh dimanfaatkan sebagai bahan bantu mengajar.

“Penggunaannya sesuai kerana ia turut mendidik pelajar mengamalkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif,” katanya.

Guru SMK Cyberjaya, Nada Nurhida Mohd Fadzil, pula berkata penggunaan akhbar sebagai bahan bantu mengajar adalah sesuatu yang baru dan akan memanfaatkannya.

“Setelah mengikuti bengkel ini, saya mendapat pendedahan yang lebih jelas kerana perbincangannya menyeluruh terutama dari segi cara pemilihan dan penggunaan bahan,” katanya yang juga baru setahun mengajar.

Wan Zulnasri Wan Kamal dari SMK Syed Manshor, Hulu Selangor, pula berkata penggunaan akhbar bukan saja memudahkan pengajaran guru, malah membantu pelajar lemah memahami pelajaran lebih cepat.

Guru Bahasa Inggeris yang berkhidmat sejak lapan tahun lalu itu berkata, pelajar juga mudah memahami aspek dipelajari tanpa perlu guru menjelaskannya dengan panjang lebar.

Seorang lagi guru, Nainie Azimi dari SMK St Gabriel, berkata penggunaan bahan akhbar boleh mengelakkan pelajar bosan.

Berita Harian Online: 26 Oktober 2009

Tiada ulasan: