Rabu, 21 Oktober 2009

'Pendidik Kecewa' tidak penuhi syarat pelepasan dengan izin

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat daripada 'Pendidik Kecewa', Kuala Lumpur, dalam ruangan ini pada 12 Oktober lalu.

Bagi membolehkan perkhidmatan lepas seseorang pegawai diambil kira bagi tujuan faedah persaraan, seseorang pegawai awam perlu mendapatkan pelepasan dengan izin daripada Ketua Jabatan atau Ketua Perkhidmatan sebelum berkhidmat di agensi kerajaan yang lain. Perkara ini telah dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1980.

Di Kementerian Pelajaran Malaysia, setiap permohonan pelepasan dengan izin oleh Pegawai Perkhidmatan Pendidikan akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelepasan Jawatan Dengan Izin yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme).

Ahlinya adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia. Mesyuarat ini diurus setiakan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.

Dalam menimbangkan permohonan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan untuk dilepaskan dengan izin berkhidmat di agensi atau skim perkhidmatan lain, pihak Kementerian perlu mengkaji dan meneliti setiap permohonan bagi memastikan kepentingan pendidikan para pelajar di institusinya sendiri diutamakan dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Bagi memastikan Kementerian tidak kehilangan guru-guru pakar yang berpengalaman serta mengalami kekurangan guru serius di dalam mata pelajaran-mata pelajaran tertentu, pihak Kementerian memutuskan agar semua permohonan pelepasan dengan izin perlu memenuhi syarat seperti berikut:

n Bagi guru-guru yang mengajar mata pelajaran kritikal. permohonan mereka akan dipertimbangkan jika mereka berumur 40 tahun dan ke atas.

n Bagi guru-guru yang mengajar mata pelajaran tidak kritikal, tiada had umur tertentu di dalam mempertimbangkan permohonan mereka.

Dalam hal ini, 'Pendidik Kecewa' tidak diberikan pelepasan dengan izin oleh Kementerian kerana:

n Beliau masih berumur 38 tahun semasa memohon.

n Opsyen beliau adalah Geografi iaitu mata pelajaran kritikal Kementerian Pelajaran Malaysia pada masa ini.

Sehubungan itu, dakwaan 'Pendidik Kecewa' yang mengatakan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia mengamalkan double standard adalah tidak berasas kerana permohonan beliau telah dibentang dan diputuskan bersama secara kolektif dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelepasan Jawatan Dengan Izin Kementerian Pelajaran Malaysia.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Kementerian Pelajaran Malaysia

Utusan Malaysia Online: 21 Oktober 2009

Tiada ulasan: