Pelbagai aktiviti dijalankan bertujuan melahirkan rakyat yang dapat menghayati dan seterusnya mempraktikkan konsep 1Malaysia. Pada saya jika setakat menghayati saja itu belum memadai. Perkara yang wajar kita lakukan adalah menghayatinya, seterusnya mempraktikkan perkara yang kita hayati itu dengan seboleh-bolehnya.
Menyedari hakikat itu, apabila kita tahu RIMUP menampakkan hasil dan kesan baik, mengapa kita tidak mahu membuatnya lebih baik dan berkesan? Sebelum ini dan kini pun kita masih mengamalkan RIMUP antara dua sekolah. Kita hanya kekalkan kedua-dua itu sampai kini.
Oleh itu, integrasi atau perpaduan hanya wujud antara kedua-dua sekolah itu saja. Mengapakah pihak kementerian tidak melaksanakan RIMUP dengan menggunakan sistem bertempoh, iaitu dalam tempoh setahun atau dua tahun dan sebagainya kita perlu tukar sekolah.
Misalnya, di suatu kawasan itu mempunyai sekolah A, B, C, D, E dan sebagainya. Kita mewajibkan sekolah A mengadakan RIMUP dengan sekolah B,C,D,E, dan sebagainya dalam satu tempoh. Begitu juga dengan sekolah B harus mengadakan RIMUP dengan sekolah A,C,D,E, dan seterusnya.
Ini bererti semua sekolah di kawasan itu dapat diintegrasikan secara keseluruhannya dan bukan seperti sekarang yang asyik setiap tahun lihat batang hidung yang sama saja. Pendek kata, kita buat secara liga dan tidak secara kalah mati. Pada saya cara begini lebih praktikal dan dapat mendatangkan kesan yang luar biasa.
Saya berharap pihak kementerian mempertimbangkan cadangan saya yang murni ini bagi menambah baik RIMUP yang ada supaya dapat menjadikannya lebih segar dan menyerlah pada masa akan datang.
TSAI JIN,
Serian, Sarawak.
Berita Harian Online: 14 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan