Rabu, 21 Oktober 2009

Dasar MBMMBI murid Tahun Satu mulai 2011





KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk melaksanakan dasar baru iaitu Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahap Satu mulai tahun 2011.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, murid Tahun Satu yang baru memasuki persekolahan tidak terlibat dengan dasar lama.

"Namun demikian, perkara ini bergantung kepada beberapa faktor antaranya bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk mata pelajaran Sains dan Matematik sekiranya ia dapat disiapkan pada akhir tahun 2010," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Menurut beliau, pelaksanaan dasar MBMMBI bagi murid Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat pula akan bermula pada tahun 2012.

Langkah itu, katanya, adalah untuk membolehkan Kementerian Pelajaran membuat persiapan rapi dengan mengambil kira semua keperluan pengajaran dan pembelajaran disediakan secara teratur.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, kerajaan komited tidak akan kembali kepada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana dasar baru iaitu MBMMBI adalah selaras dengan keperluan negara untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kosmo Online: 21 Oktober 2009

Tiada ulasan: