Selasa, 13 Oktober 2009

RIMUP satukan bangsa selaras konsep 1Malaysia

TANAH MERAH - Bagi mewujudkan kesepakatan kaum yang pelbagai di Malaysia selaras dengan konsep 1Malaysia, satu program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) diadakan di Sekolah Kebangsaan Yuk Cheng, di sini semalam.

Program berkenaan melibatkan tiga sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Suria 1, SK Tanah Merah 1 dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina SJK) (C) Yuk Cheng.

Turut hadir pada program itu, Timbalan Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Shaari Daud.

Shaari berkata, program terbabit yang merupakan di bawah kelolaan PPD diperuntukkan dengan perbelanjaan RM1,500 bagi menjayakan program terbabit.

“Program ini juga dapat dijayakan dengan kesepakatan ketiga-tiga guru besar di sekolah-sekolah yang terpilih pada program hari ini.

“Ia bersesuaian dan bertepatan dengan konsep yang diwarwarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk mewujudkan gagasan 1Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Menurutnya, kesepakatan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga sekolah berkenaan diharap dapat dikekalkan.

“Amalan ikrar yang dilakukan pada perhimpunan di sekolah-sekolah juga perlu dikekalkan dan diteruskan bagi menerap nilai-nilai positif.

“Semoga kesepakatan ini akan sentiasa utuh dan murid-murid dapat bekerjasama dalam mencapai perpaduan di antara pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata, selepas ini, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan program itu di beberapa sekolah di sekitar Tanah Merah termasuk SK Belimbing, SK Suria 2 dan 3 serta SK Tanah Merah 2.

Pada program terbabit, para pelajar turut mengadakan persembahan koir lagu-lagu patriotik, persembahan drama dan pertandingan mewarna yang turut menggabungkan murid ketiga-tiga sekolah dalam satu kumpulan yang mewujudkan kesepakatan antara kaum Cina dan Melayu.

Sinar Harian: 13 Oktober 2009

Tiada ulasan: